Isnin, 9 Julai 2012


GEJALA LEPAK DI PASAR RAYA GIANT KULIM : SATU TINJAUAN





1.0       PENDAHULUAN



            Perkataan ‘lepak’ sudah tidak asing lagi kepada masyarakat di Malaysia pada hari ini. Sebelum tahun 1980-an, kita tidak pernah didedahkan dengan perkataan ini namun sekitar tahun  1991 sehingga 1993, budaya lepak telah mendapat perhatian yang serius di kalangan masyarakat. Budaya lepak ini menjadi sesuatu yang tidak asing lagi kepada masyarakat terutamanya golongan remaja dan telah menular di kalangan pelajar-pelajar sekolah dan ianya semakin sukar untuk dibendung. Memandangkan budaya lepak ini boleh menimbulkan masalah kepada kita, beberapa pihak sama ada individu mahupun kumpulan telah membuat beberapa kajian untuk melihat punca dan kesan gejala ini terhadap masyarakat sekeliling.



            Mengikut Kamus Dewan Edisi Keempat terbitan Dewan Bahasa dan Pustaka, perkataan ‘lepak’ membawa maksud budaya atau tabiat atau amalan negatif di kalangan masyarakat, seperti di kalangan remaja yang menghabiskan masa dengan duduk-duduk tanpa melakukan kegiatan yang berfaedah. Manakala maksud ‘remaja’ pula ialah mula dewasa atau sudah cukup umur atau akil baligh serta telah bersedia untuk kahwin. Umur remaja pula dikategorikan dari 12 hingga 19 tahun.



            Menurut pendapat dan hasil kajian yang dijalankan oleh Samsudin (1993), perilaku lepak tidak terhad kepada remaja bersekolah sahaja, malah lebih menular dalam kalangan yang sudah bekerja. Di dalam hasil kajiannya juga turut melaporkan bahawa secara puratanya seseorang pelajar atau remaja luar bandar sanggup menghabiskan masa sebanyak 16.3 jam seminggu untuk melepak. Manakala remaja di rancangan tanah FELDA pula menghabiskan masa selama 28.4 jam seminggu dan 22.4 jam seminggu pula dilakukan oleh remaja di kota atau di bandar. Keadaan ini juga menunjukkan bahawa budaya melepak ini tidak mengenal tempat atau status  perekitaran keluarga.

                                                            - 1 -

            Perbuatan melepak ini sudah semestinya boleh menimbulkan pelbagai gejala yang tidak sihat kepada pengamalnya dan ianya sentiasa dipandang serong oleh masyarakat yang tidak sukakan budaya yang terlalu bebas ini. Menurut Ann Wan Seng ,1994 (dalam kajian yang ditulis oleh Dr. Azizi Hj Yahya, Jamaludin Ramli dan Yusof Boon) ada menyebut bahawa tingkah laku melepak ini asalnya dimulakan oleh remaja yang tersisih daripada masyarakat atas sebab-sebab seperti tidak mempunyai pekerjaan sehingga menunjukkan perangai yang tidak baik dan bosan bersama keluarga.



            Sementara itu, di dalam akhbar Berita Harian bertarikh 15 Februari 1994 yang dipetik dari kata-kata Datuk Dr. Abdul Hamid Othman (dalam kajian Dr. Azizi Hj Yahya dan Nalini a/p Madavan) ada menyebut bahawa remaja melepak berasal daripada masyarakat yang mendiami perkampungan baru sekitar bandar. Suasana dalam keluarga dan masyarakat tersebut tidak mujud sifat tegur menegur atau nasihat-menasihati antara satu dengan yang lain kerana mereka tidak mempunyai sikap hidup yang tidak mahu mencampuri hal-hal urusan orang lain. Ini juga merupakan salah satu gejala yang sering kita hadapi pada hari ini yang mana nilai-nilai kejiranan tidak diamalkan sesama kita.



            Menurut kajian Dr. Azizi Hj. Yahya dan Nalini a/p Madava memetik pendapat Rice dan Kobak ( dalam Shahizan Hassan, Tsai Chen Chien dan Saw Hooi Chin, 2004), pula mengatakan walaupun remaja dikatakan menghabiskan lebih banyak masa bersama rakan-rakan berbanding ibu bapa, namun hubungan yang mesra di antara  ibu bapa dengan anak dianggap penting dalam proses perkembangan remaja. Mereka memerlukan sokongan daripada ibu bapa supaya menjadi lebih berdikari dan cekal.





           









                                                            - 2 -

                        1.1       OBJEKTIF  KAJIAN

                        Setiap kajian yang dijalankan mempunyai tujuan atau objektifnya yang       tersendiri. Begitu juga dengan kajian tentang budaya lepak yang dibuat di sebuah bandar yang baru membangun iaitu di bandar Kulim, Kedah yang mana kawasan    ini merupakan kawasan yang baru berkembang sejak kebelakangan ini dan             bersempadanan dengan negeri yang telah maju iaitu Pulau Pinang. Antara   objektifnya ialah:

i)                    Mengenalpasti iklim persekitaran di mana gejala sosial ini berlaku.

ii)                  Mengenalpasti pengaruh rakan sebaya yang dikatakan punca berlakunya gejala lepak di kalangan remaja ini.

iii)                Mengenalpasti latar belakang keluarga pelajar atau remaja yang terlibat dengan budaya lepak.

iv)                Mengenalpasti pengaruh media massa yang dikatakan pendorong utama remaja atau pelajar terlibat dengan gejala lepak.



















                                                            - 3 -



                        1.2       KEPENTINGAN KAJIAN



                        Apa juga gejala sosial, jika tidak dibendung dari awal akan menimbulkan    banyak masalah di belakang hari. Begitu jugalah dengan gejala lepak ini, jika    dibiarkan berleluasa hingga ke tahap yang membimbangkan, ia boleh menjejaskan          aspirasi rakyat dan kerajaan serta wawasan negara yang sedang menuju ke arah             negara membangun dan negara maju di tahun 2020. Dengan adanya kajian ini,       diharapkan dapat dimanfaatkan oleh:



            i).         Pihak kerajaan khasnya Kementerian Pelajaran, agar dapat mengadakan      satu perancangan khas untuk pembangunan iklim persekitaran sekolah yang             selamat dan selesa dan meningkatkan lagi mutu disiplin  bagi menbendung        masalah salah laku di kalangan pelajar.



            ii).        Kementerian Belia dan Sukan perlulah mengambil berat tentang isu lepak   ini dan mengaturkan pelbagai program yang bermanfaat untuk membina sahsiah   belia yang bermoral dan berakhlak terpuji selaras dengan wawasan negara iaitu melahirkan modal insan yang berkualiti.



            iii).       Pihak sekolah dengan kerjasama Pejabat Pelajaran daerah dan Jabatan         Pelajaran Negeri perlu memahami dan mengetahui sebab-sebab berlakunya gejala   sosial seperti lepak dan mencari langkah-langkah yang wajar dan berkesan bagi          menangani masalah ini.



            iv).       Ibu bapa terutamanya, perlu mengawal dan mengawasi tingkah laku anak-  anak dan sentiasa mengambil berat akan permasalahan anak-anak ini agar tidak           mudah terjerumus dalam kancah yang tidak sihat ini.





                                                            - 4 -



2.0       SOROTAN KAJIAN



            Sehingga kini terdapat beberapa kajian tentang budaya lepak yang menunjukkan ramai remaja terlibat dalam gejala sosial ini. Sememangnya perlakuan lepak ini adalah disebabkan oleh beberapa faktor yang menyumbang ke arah berlakunya gejala tersebut. Menurut Kaplan, 1975 ( di dalam kajian Prof. Madya Dr. Azizi Hj. Yahya dan Nalini a/p Madavan) menyatakan bahawa  budaya lepak ini adalah berkaitan dengan psikopatologi iaitu mengalami masalah personaliti, gangguan mental, gangguan emosi, selalu anxieti atau depresi. Didapati juga kebanyakan golongan remaja yang terlibat dalam budaya lepak ini mempunyai masalah keluarga, sukar membina hubungan rapat dengan ahli keluarga, keluarga yang berpisah dan berbagai lagi.



            Dalam pendapat lain, menurut Idris,2000 (dalam Samsudin Abd. Rahim) menyatakan bahawa  faktor persekitaran dan perhubungan kekeluargaan yang menjadi pendorong kepada remaja untuk terlibat dengan gejala lepak ini. Dalam kajiannya mendapati kerenggangan hubungan kekeluargaan ditambah pula dengan kelonggaran agama punca menyebabkan remaja mudah terpengaruh dengan gejala yang tidak sihat. Ibu bapa sebagai orang yang paling hampir untuk membentuk anak-anak dan membimbing mereka ke jalan yang selamat. Jika keadaan ini tidak dapat dipraktikkan, semestinya jalan yang buntu akan ditemui.



            Kajian yang dijalankan oleh Samsudin ( menurut pendapat Hawkins dan Pingree, 1982) mendapati bahawa gejala sosial lepak ini dipengaruhi oleh media massa iaitu televisyen. Menurut Hawkins dan Pingree, remaja menggunakan televisyen untuk membuat ketentuan tentang sesuatu situasi yang mana mereka tidak mempunyai pengalaman secara langsung dan mereka hanya mengikut apa yang mereka tontoni. Ini adalah salah satu punca remaja mencari keseronokan di luar seterusnya  mula berjinak dengan melepak sambil bertukar-tukar fikiran bersama rakan sebaya yang senasib dengannya.

                                                            - 5 -

            Gejala sosial seperti lepak ini boleh dipengaruhi oleh faktor persekitaran remaja itu sendiri. Menurut Harredan Lamb,1983 (di dalam kajian Prof. Madya Dr. Azizi Hj. Yahya dan Nalini a/p Madavan) pula menunjukkan remaja yang tidak dapat melakukan penyesuaian diri yang lebih kompleks dengan keluarga, teman sebaya atau guru melalui aktiviti seharian dan kehidupan sosial yang sesuai dengan perasaannya, mula melibatkan diri dengan gejala yang tidak sihat seperti lepak.



            Pengaruh rakan sebaya yang menyebabkan gejala lepak juga dikongsi bersama Manja, 1990 (dalam kajian Dr. Azizi Hj. Yahya, jamaludin Ramli dan Yusof Boon) yang mana berpendapat bahawa remaja mudah terpengaruh dengan rakan sebaya yang mempunyai minat yang sama. Mereka mudah berinteraksi secara terbuka kerana mereka mempunyai kegemaran dan citarasa yang sama dan mereka menaruh kepercayaan terhadap rakan meraka.



            Menurut kajian yang dilakukan oleh Samsudin dan Iran (1993) telah menunjukkan kepada kita bahawa perlakuan lepak tidak terhad di kalangan pelajar atau remaja sahaja, malah ianya boleh terjadi di kalangan orang dewasa yang telah mempunyai pekerjaan dan mereka ini mempunyai jawapan mereka sendiri untuk terlibat dengan gejala melepak ini. Orang-orang dewasa terutamanya di luar-luar bandar, sering duduk di kedai-kedai kopi sambil berbual-bual kosong dengan membuang masa tanpa mengusahakan tanah atau ladang yang terbiar. Perkara seperti ini juga perlu dikaji untuk mencari jawapannya.



            Ibu bapa juga perlu menyedari bahawa peranan mereka sangat besar dalam menangani masalah lepak di kalangan remaja ini. Menurut Razali, 1994 (dalam kajian Dr. Azizi Hj Yahya, jamaludin Ramli dan Yusof Boon) telah merumuskan bahawa lepak adalah disebabkan oleh ibu bapa yang tidak prihatin terhadap anak-anak. Selain itu, tidak ada keharmonian di dalam rumahtangga sehinggakan anak-anak dibiarkan bergaul bebas tanpa kawalan. Keadaan ini juga menunjukkan bahawa ibu bapa perlu memainkan peranan dalam menangani masalah lepak di kalangan remaja masa kini.

                                                            - 6 -

            Pendapat yang sama turut dikongsi bersama oleh Ann Wan Seng ,1994 (dalam kajian Dr. Azizi Hj Yahya, jamaludin Ramli dan Yusof Boon) yang mana beliau turut menambah bahawa tingkah laku melepak ini asalnya dilakukan oleh remaja yang tersisih daripada masyarakat atas sebab-sebab seperti tidak mempunyai pekerjaan sehingga menunjukkan perangai yang tidak baik dan bosan tinggal bersama keluarga mereka.



            Sementara itu, mengikut Sarina Othman, 1995 (dalam Dr. Azizi Yahya dan Nalini) mengatakan bahawa pendidikan agama yang disemai sejak zaman kanak-kanak akan dapat membentuk remaja agar mempunyai jati diri dan nilai-nilai murni  dalam jiwa serta dapat menolak unsur-unsur yang bertentangan dengan ajaran agama. Remaja yang mempunyai jati diri yang jitu tidak mudah terpengaruh dengan gejala sosial terutamanya lepak yang tidak mendatangkan faedah kepada pengamalnya.



            Tugas ibu bapa dalam memantau perkembangan sahsiah serta tingkah laku anak-anak terutama dalam golongan remaja amatlah diharapkan. Hubungan yang erat antara ibu bapa dan anak-anak akan menjamin hubungan yang mesra dalam keluarga. Begitulah pendapat yang diutarakan oleh Rice dan Kobak,2004 (dalam Shahizan Hassan, Tsai Chen Chien dan Saw Hooi Chin) yang berpendapat walaupun remaja dikatakan banyak menghabiskan masa bersama rakan-rakan berbanding ibu bapa, namun hubungan yang mesra antara keluarga tidak boleh dipandang ringan.



            Berdasarkan kajian-kajian yang telah dijalankan oleh pengkaji-pengkaji terdahulu, nyatalah bahawa terlalu banyak faktor yang boleh enyebabkan remaja mudah terpengaruh dengan gejala lepak yang tidak mendatangkan manfaat atau faedah kepada masyarakat ataupun kepada negara. Kita selaku masyarakat yang prihatin, haruslah mengambil langkah yang positif dan berganding bahu bersama pihak kerajaan untuk sama-sama menangani masalah lepak di kalangan remaja pada masa kini.







                                                            - 7 -

3.0       METODOLOGI KAJIAN

           

            3.1       Rekabentuk Kajian

                        Di dalam kajian ini, pengkaji telah menjalankan kajian adalah berbentuk      deskriptif dan dilakukan secara tinjauan dan pemerhatian. Kaedah yang dipilih ini      bersesuaian bagi mendapatkan maklumat tentang sesuatu peristiwa atau kejadian           yang diperhatikan. Bentuk kajian ini adalah bersesuaian dengan pendapat Ahmad             Lisot,1988 (dalam kajian Azizi Hj. Yahya, Jamaludin Ramli dan Yusof Boon)        yang mengatakan bahawa kajian bentuk ini adalah amat sesuai digunakan bagi             penyelidikan yang bertujuan untuk menerangkan untuk menerangkan sesuatu fenomena yang sedang berlaku iaitu budaya lepak di kalangan remaja.



            3.2       Lokasi atau populasi Kajian

                        Pengkaji telah memilih sebuah pasar raya yang sering menjadi          tumpuan remaja di sekitar bandar Kulim, Kedah. Bandar Kulim merupakan      sebuah bandar yang sedang membangun dan bersempadanan dengan negeri Pulau    Pinang. Selain daripada menjadi pusat membeli-belah, pasar raya yang dipilih ini    iaitu  Pasar Raya Giant, juga mempunyai beberapa kemudahan yang menjadi tarikan remaja seperti pusat snooker, pusat bowling, mini pawagam, pusat          permainan video dan mini karaoke. Selain itu, terdapat juga beberapa buah             restoran makanan segera seperti KFC, Mc Donald, Pizza Hut, Kopitiam, Sushi         King, A&W dan beberapa buah restoran lagi yang sering menjadi tumpuan para           remaja untuk melepak.



            3.3       Sampel Kajian

                        Di dalam menjalankan kajian ini, pengkaji telah memilih beberapa orang      responden yang dijadikan sampel iaitu seramai 10 orang remaja. Di dalam sampel         itu, seramai 5 orang lelaki dan 5 orang perempuan remaja telah dipilih secara      rawak untuk mendapatkan maklumat.



                                                            - 8 -

            3.4       Instrumen Kajian

                        Instrumen kajian ini adalah menggunakan teknik soal-selidik yang terdiri    daripada soalan-soalan kaedah Skala Likert. Pengkaji telah memilih hari dan masa   yang sesuai untuk mendapatkan sampel atau responden yang bersesuaian dan tepat dengan masalah yang dikaji.



            3.5       Kaedah Analisis Data

                        Data yang dikumpulkan telah dianalisis dengan kaedah statistik deskriptif iaitu menggunakan pemeratusan.



4.0       DAPATAN KAJIAN



            4.1       Latar belakang responden

                        Seramai 10 orang remaja telah dipilih secara rawak dan mereka secara         sukarela telah memberikan kerjasama untuk disoal selidik bagi mendapatkan      maklumat tentang kajian yang dijalankan. Pecahan daripada 10 responden        tersebut adalah seperti berikut iaitu 5 orang remaja lelaki dan 5 orang remaja           perempuan dan kesemua remaja ini adalah berbangsa Melayu. Latar belakang           mereka adalah seperti berikut:



            4.1.1    Responden 1  

            Seorang remaja lelaki berusia 18 tahun. Sedang menunggu keputusan          Peperiksaan SPM. Anak tunggal dalam keluarga. Ibu bapa bekerja dalam sektor          kerajaan. Tinggal di kawasan berdekatan dengan pasar raya yang dikaji.



            4.1.2    Responden 2

            Remaja lelaki berusia 18 tahun. Rakan baik responden 1. Anak kepada seoarng      pegawai bank dan ibunya seorang guru di salah sebuah sekolah menengah di    Kulim. Sedang menunggu keputusan Peperiksaan SPM. Anak ke 3 dan          merupakan anak bongsu dalam keluarga.

                                                            - 9 -

            4.1.3    Responden 3

            Merupakan seorang remaja lelaki juga berusia 18 tahun dan rakan kepada    responden 1 dan 2. Tinggal berhampiran responden 2. Bapa seorang pegawai      kerajaan dan ibunya seorang pembantu tadbir di sebuah sekolah rendah di bandar         Kulim. Anak ke 2 daripada 3 orang adik beradik.



            4.1.4    Responden 4

            Remaja perempuan baru berusia 17 tahun. Masih bersekolah di salah sebuah           sekolah menengah di bandar Kulim. Tinggal bersama seorang ibu tunggal yang     mana keluarganya telah bercerai. Ibu bekerja sebagai jururawat di Hospital Kulim   dan menyara 3 orang anak yang lain.



            4.1.5    Responden 5

            Akan kepada responden 4. Berusia 18 tahun dan sedang menunggu keputusan       peperiksaan SPM. Tinggal bersama datuk dan nenek di sebuah kampung           berhampiran dengan bandar Kulim. Ibu dan ayah serta 3 orang adik yang lain tinggal di Perak.



            4.1.6    Responden 6

            Seorang pelajar lelaki berusia 16 tahun. Digantung sekolah akibat masalah disiplin di sekolahnya. Anak ke tiga daripada 5 orang adik beradik. Ibu bapa             bekerja di sektor perindustrian di Kulim Hi-Tech Park, sebuah kawasan          perindustrian yang sedang meningkat di negeri Kedah. Mempunyai motosikal        sendiri yang dibeli oleh bapanya. Remaja ini juga didapati merupakan seorang perokok.         











                                                            - 10 -

            4.1.7.   Responden  7

            Remaja perempuan yang berusia 19 tahun. Sudah berhenti sekolah dan sedang       mencari pekerjaan. Berkawan dengan responden 5 sejak  dua tahun yang lalu.

            Memiliki motosikal sendiri walaupun tidak mempunyai pekerjaan. Bapanya            seorang pekerja am di sebuah sekolah di luar bandar Kulim. Ibunya seorang           peniaga di sebuah gerai makan di pinggir bandar Kulim.



            4.1.8    Responden 8

            Seorang anak gadis berusia 18 tahun dan sedang menunggu keputusan        Peperiksaan SPM. Anak ke 4 daripada empat orang adik beradik. Tinggal di          kawasan perumahan berhampiran dengan pasar raya yang di pilih untuk kajian.       Ibu bapa bekerja di dalam sektor perindustrian di Bayan Lepas, Pulu Pinang.



            4.1.9    Responden 9

            Rakan sekelas responden 8 ketika di bangku sekolah dahulu. Masih menunggu       keputusan Peperiksaan SPM. Tinggal berdekatan dengan responden 8. Ibu bapa      barangan berniaga tekstile di Butterworth. Gadis ini adalah anak ke 2 daripada 4   orang adik beradik.



            4.1.10  Responden 10

            Remaja perempuan berumur 19 tahun dan masih menganggur dan sedang   menunggu keputusan untuk melanjutkan pelajaran ke kolej swasta. Ibu seorang   peniaga warung di Penanti, Bukit Mertajam manakala bapanya masih bekerja di          sektor swasta di Prai, Pulau Pinang.Walaupun bekerja di Pulau Pinang, keluarga     ini tinggal di Kulim. Gadis ini merupakan anak sulung daripada 2 beradik.











                                                            - 11 -

4.2       Faktor Yang Menyebabkan Remaja Terlibat Dalam Gejala Lepak




                 Rajah 1:  Faktor Penyumbang Gejala Lepak Di Kalangan Remaja



            Daripada hasil dapatan kajian ini, beberapa faktor penyebab telah dapat dikesan di mana ianya merupakan faktor yang biasa kita dengari pada hari ini. Antara faktor-faktor utama yang diperolehi daripada kajian ini ialah 100%  adalah berpunca daripada pengaruh rakan sebaya. Rakan merupakan faktor yang paling tinggi dalam menimbulkan gejala  ini di mana mereka akan mudah terpengaruh dengan ajakan dan perasaan untuk menolak adalah sangat rendah. Mereka tidak mampu menolak ajakan rakan dan berminat serta tertarik dengan cerita-cerita indah yang digambarkan oleh rakan dan perasaan ingin mengetahui dan turut mencuba terpahat di dada mereka.









                                                            - 12 -



            Memandangkan Bandar Kulim merupakan bandar yang sedang dan baru membangun, berbagai prasarana atau kemudahan awam didirikan atau disediakan untuk masyarakat setempat. Pasar raya yang dibina merupakan satu ‘benda’ baru bagi mereka dan perasaan ingin tahu meluap-luap dalam diri mereka dan menyebabkan mereka sering

berkunjung ke situ tambahan pula disediakan berbagai bentuk hiburan yang belum pernah dirasai sebelum ini. Faktor ini boleh juga disebut sebagai kejutan budaya atau modenisasi. Hasil dapatan kajian menunjukkan 90% responden ingin mencari kebebasan di luar sambil berseronok-seronok dengan rakan, manakala 80% pula ingin menikmati hiburan yang ada di pusat-pusat hiburan seperti panggung wayang, pusat permainan video, pusat snooker dan sebagainya.



            Pengaruh media massa juga menjadi penyebab kepada berlakunya budaya lepak di tempat yang dikaji ini. Peranan media cetak mahupun media elektornik yang mempromosikan pasar raya berkenaan turut menyumbang kepada gejala yang tidak sihat ini. Remaja yang datang ke situ bukanlah untuk membeli-belah tetapi sekadar untuk melihat suasana dan bersuka-suka bersama dengan rakan sebaya di tempat-tempat hiburan yang disediakan di situ. Peranan media ini telah menyumbang kepada 60% penyebab berlakunya gejala lepak di kalangan remaja di sini.



            Faktor  yang seterusnya ialah faktor masalah keluarga. Daripada 10 responden yang ditemu bual, 70% menyatakan ibu bapa tidak melarang atau mengambil berat tentang perlakuan anak-anak mereka. Bagi mereka, perlakuan ‘bersiar-siar’ tanpa tujuan adalah tidak salah dan tidak menimbulkan apa-apa masalah. Ada juga di antara mereka ini, ibu atau bapa tidak mengetahui langsung dan tidak pernah bertanya tentang aktiviti yang dilakukan oleh anak remaja mereka. 60% pula mengatakan mereka menghadapi tekanan jika berada di rumah seperti pergaduhan ibu bapa, penceraian keluarga dan gangguan lain oleh adik-beradik. 70% daripada responden juga mengatakan bahawa mereka tidak mengamalkan tuntutan agama seperti sembahyang, puasa dan sebagaimana yang diwajibkan ke atas umat Islam. Faktor ini juga menjadi penyumbang kepada gejala lepak di kalangan remaja.

                                                            - 13 -

            Ibu bapa yang mengamalkan dasar ‘autoritarian’ iaitu mengenakan hukuman kepada anak-anak juga merupakan punca kepada gejala ini. Anak-anak remaja sering tertekan dengan peraturan yang terlalu mengongkong mereka dari begerak bebas.  Ibu bapa yang terlalu membiarkan atau ibu bapa’indulgent’ juga boleh menyebabkan anak menjadi terlalu bebas dan terjebak dalam gejala lepak ini.

           

            Antara faktor sampingan lain yang turut dikesan adalah  berpunca daripada tekanan di sekolah. Ini termasuklah kurang memberi tumpuan terhadap pelajaran, tidak  faham apa yang dipelajari, sering dimarahi oleh guru, ditertawakan oleh rakan dan sebagainya. Faktor ini telah menyumbang sebanyak 40%.




        Rajah 2: Graf menunjukkan peratusan aktiviti gejala lepak di kalangan remaja

           

            Rajah di atas menunjukkan peratusan  aktiviti yang sering dilakukan oleh remaja ketika berada di pusat membeli belah atau lokasi yang dikaji. 100% remaja berminat dengan duduk dan berbual-bual kosong.berbual kuat sambil ketawa menyumbang sebanyak 60% kepada remaja lelaki dan 40% remaja perempuan.  80 % remaja lelaki pula gemar mengganggu pengunjung terutama pengunjung wanita atau anak gadis. 80% remaja lelaki dan 40% remaja perempuan gemar memakai pakaian ‘rugged’. Manakala sebanyak 40 remaja lelaki gemar berada di pusat ‘siber cafĂ©’ dan membuang masa di situ.

                                                           

            60% remaja lelaki dan perempuan gemar merayau-rayau di pusat membeli belah tanpa tujuan. Kegiatan merokok juga menunjukkan peratusan yang tinggi di kalangan remaja lelaki iaitu sebanyak 80% dan remaja perempuan 40%. Perlakuan seperti bermain gitar dan menari’shuffer’ pula dikuasai oleh remaja lelaki iaitu sebanyak 40% dan 60%. Aktiviti membeli belah dan ‘window shooping’ pula digemari oleh remaja peremp[uan iaitu  sebanyak 80%.

4.3       Perkaitan Gejala Lepak Dengan Proses Sosialisasi



            Gejala lepak ini boleh mendatangkan pelbagai kesan negatif kepada remaja jika      mereka tidak tahu mengawal diri serta menurut kata hati dan perasaan serta tidak        mempunyai pertimbangan yang waras dalam norma-norma hidup. Antara    perlakuan yang boleh terjadi jika gejala ini tidak dibendung ialah seperti:



            4.3.1    Meningkatkan kadar ponteng sekolah di kalangan pelajar

            Pelajar atau remaja yang sering terlibat dengan gejala lepak ini selalunya akan         terlibat dengan perlakuan ponteng sekolah.  Mereka tidak segan-silu untuk       melakukan ponteng demi memenuhi keinginan untuk berseronok dengan rakan di          luar.



            4.3.2    Menggalakkan perbuatan zina

            Remaja yang terlibat dengan lepak ini kebiasaannya terlibat dengan pergaulan        bebas antara lelaki dan perempuan tanpa batasan. Keadaan ini akan mengundang    kepada perlakuan yang tidak diingini seperti penzinaan dan kemungkinan akan           berlaku kejadian pembuangan bayi.   



                                                            - 15 -



            4.3.3    Meningkatkan perlakuan merokok dan terlibat dengan dadah

            Remaja yang bebas ini mudah mengikut serta melakukan perkara-perkara yang       dilarang seperti merokok. Atas rasa kebebasan, mereka juga mungkin akan       terdedah dengan penglibatan pengambilan dadah serta pengambilan alkohol.

                                               

            4.3.4    Kejadian mencuri atau meragut

            Bagi mendapatkan wang dan memenuhi keperluan mereka untuk bergaya atau       sebagainya, para remaja ini akan melakukan apa saja termasuk mencuri atau        meragut.





            4.4       Kesan Masalah Lepak Kepada Masyarakat

            Sudah semestinya, sesuatu gejala sosial akan menimbulkan masalah kepada            masyarakat. Begitu juga dengan budaya lepak ini, yang mana sedikit sebanyak          telah meninggalkan kesan yang kepada masyarakat, keluarga dan bangsa. Antara   kesan-kesan yang boleh dilihat adalah seperti:

           

            4.4.1    Merenggangkan hubungan kekeluargaan

            Remaja yang sering melepak ini kebiasaannya akan menghabiskan masa yang         banyak berada di luar. Oleh yang demikian, masa bersama keluarga adalah sangat   terhad dan keadaan ini akan merenggangkan lagi hubungan di dalam     kekeluargaan.



            4.4.2    Kejatuhan moral remaja

            Remaja yang berpeleseran dan duduk melepak akan sentiasa dipandang serong      oleh masyarakat. Sikap mereka ini akan dinilai oleh masyarakat dan ia           menyebabkan moral mereka tercemar tambahan pula jika mereka             membelakangkan nilai-nilai keagamaan.



                                                            - 16 -

            4.4.3    Mewujudkan jurang sosial antara masyarakat

            Golongan remaja yang selalu melepak ini akan dipinggirkan oleh masyarakat.         Oleh yang demikian wujudlah perbezaan atau jurang antara remaja dengan orang            yang lebih berumur. Keadaan menjadi lebih ketara jika remaja seperti ini tidak      pandai mengambil hati orang tua atau tidak menghormati adat dan budaya             masyarakat.

                                                           

            4.4.4.   Melahirkan generasi muda yang lemah dan tidak produktif

            Remaja yang sering melepak ini akan mencerminkan sikap mereka yang tidak         berminat untuk berjaya dan tidak mempunyai daya saing untuk maju. Mereka ini     akan dilihat sebagai golongan yang lemah dan tidak menguntungkan masyarakat   dan negara dan tidak menghasilkan sebarang keuntungan kepada negara.   





4.5       Cara Menengani Masalah Lepak



            Bagi menangani masalah lepak di kalangan remaja bukanlah satu tugas yang ringan dan boleh dilakukan dalam masa yang singkat. Tugas ini perlu melibatkan banyak pihak termasuk masyarakat, nilai hidup, nilai budaya dan yang penting sekali ialah agama. Dengan adanya kerjasama dan sikap prihatin daripada masyarakat, ibu bapa, kerajaan, Kementerian Pelajaran dan individu perseorangan, masalah ini boleh diatasi sekiranya kita sedar bahawa gejala lepak ini boleh meruntuhkan akhlak anak-anak muda dewasa ini.

            Berikut adalah cadangan-cadangan untuk mengatasi masalah ini:

            4.5.1    Memberi didikan agama kepada anak-anak

            Dalam soal ini, ibu bapa harus memainkan peranan yang penting dalam mendidik   anak-anak dengan memberikan pengetahuan agama sejak kecil lagi. Selain itu, ibu        bapa sendiri perlulah menjadi ‘role model’ kepada anak-anak dalam soal             keagamaan ini serta bertanggungjawab untuk menyampaikan nilai-nilai murni             kepada anak-anak.

                                                            - 17 -

            4.5.2    Memperkukuhkan institusi kekeluargaan

            Ibu bapa seharusnya menunjukkan teladan yang baik kepada anak-anak. Institusi   kekeluargaan akan musnah jika sesebuah keluarga sentiasa berada dalam porak   peranda, bercerai-berai dan anak-anak terbiar. Ibu bapa haruslah mempunyai rasa          tanggungjawab yang penuh dalam mendidik dan membentuk sahsiah anak-anak     Tugas ibu bapa bukan sekadar menyediakan tempat tinggal dan memberi         kepentingan material sahaja, malah lebih dari itu seperti menjaga jiwa dan rohani          anak-anak agar menjadi insan kamil.



            4.5.3.   Membentuk Generasi Muda Yang Cemerlang

            ‘Pemuda tiang negara, pemudi harapan bangsa’ patut disemai dalam jiwa anak-      anak muda agar mereka sayang akan diri sendiri, keluarga, bangsa,negara dan           yang paling penting menjaga maruah agama yang tercinta. Perasaan        tanggungjawab ke atas diri sendiri dan berupaya membina insan yang berdaya        saing, berdaya tahan, bersikap kreatif serta inovatif serta mempunyai jati diri,       perlu dipupuk dalam diri remaja agar melahirkan modal insan yang cemerlang di    masa hadapan.



            4.5.4    Keberkesanan Sistem Pendidikan

            Falsafah Pendidikan Kebangsaan yang dihasratkan oleh kerajaan tidak akan           tercapai jika muda-mudi tidak dapat mengamalkan prinsip-prinsip yang          terkandung di dalamnya. Kecemerlangan emosi, jasmani, rohani dan intelektual            seseorang akan terserlah jika nilai-nilai murni yang diterapkan dapat dihayati dan   diamalkan oleh remaja. Nilai-nilai murni berlandaskan keagamaan perlu disemai           dan dipupuk sejak dari bangku sekolah rendah lagi. Kita tidak mahu berlaku seperti kata pepatah, apabila ‘nasi sudah menjadi bubur’, dan usaha perlu             dilakukan sekarang, kerana ‘melentur buluh biarlah dari rebungnya’.







                                                            - 18 -

5.0       PENUTUP



            Berdasarkan daripada pendapat-pendapat yang dinyatakan di atas, bolehlah dikatakan bahawa budaya lepak ini sememangnya mendatangkan banyak kesan negatif kepada masyarakat dan kepada remaja itu sendiri. Dalam hal ini, kesedaran sivik perlulah ditanam dalam jiwa remaja bagi melahirkan insan yang benar-benar bermaruah dan berusaha ke arah kesejahteraan negara. Menurut Schlozman, Verba & Brady, 1999, (dalam Ezhar Tamam, Jusang Bolong, Zamre Yaakob dan Mohamad Rezal Hamzah,2008). Masyarakat seperti pihak berwajib, ibu bapa, guru mahupun NGO perlu melakukan sesuatu bagi membendung gejala yang tidak sihat ini agar tidak terus berleluasa.  Memandangkan budaya lepak ini melibatkan para remaja, adalah baik jika ianya dapat dibendung dari awal kerena kemajuan negara di masa hadapan adalah bergantung kepada modal insan yang ada sekarang. Walaupun perkataan melepak ini membawa maksud yang tidak menyenangkan, namun dari sudut lain kita perlu melihat bahawa melepak pada hari tidak boleh disalahtafsirkan kerana melepak pada hari ini membawa banyak erti dan tujuan seperti untuk berhibur, berkenalan, menenangkan fikiran dan bersuka ria. Namun begitu, ianya bukanlah boleh dipandang ringan dan bebas untuk dibiar serta diamalkan tetapi perlu sentiasa dipantau agar gejala ini tidak terus menjadi ‘duri di dalam daging’.