1.0
PENGENALAN
Sejak awal tahun 20-an lagi
sehinggalah sekarang, negara kita telah melahirkan ramai tokoh sastera yang
terbilang. Lantaran itu, tidak kurang juga karya yang telah dihasilkan oleh
mereka dalam memperkembangkan dunia kesusasteraan Melayu. Sastera merupakan
satu bidang yang amat unik. Keunikan bidang sastera amat dirasai apabila kita
dapat menyelami dunia sastera ini bersama-sama tokoh-tokoh sastera yang
terkemuka. Kesusasteraan dan masyarakat mempunyai
hubungan yang amat erat. Sesebuah karya kesusasteraan terutamanya novel, dibina
berasaskan persoalan-persoalan yang
dipetik daripada rencamnya kehidupan sesuatu masyarakat. Secara kreatif,
persoalan-persoalan akan dijalin bersama susunan bahasa yang indah dan tepat
bagi menggambarkan sesuatu dengan lebih jelas. Persoalan dan tema penceritaan
yang relevan dengan budaya masyarakat akan menjadikan sesebuah karya itu lebih
mesra dan diterima oleh pembaca. Jalinan
cerita yang dihasilkan dengan teliti akan menjadikannya satu rantaian peristiwa
yang mempunyai kesenimbungan antara satu sama lain dan akhirnya membentuk
sebuah karya yang hebat. Pengarang yang hebat mampu memasukkan gambaran latar
masyarakat untuk menjadikan setiap persoalan itu signifikan dan relevan serta
nampak realistik dan secara tidak langsung dapat memartabatkan bangsa Melayu
dan mendaulatkan bahasa Melayu itu sendiri di mata dunia.
Antara
tokoh-tokoh sastera Melayu serta penulis-penulis novel yang termashyur di
negara kita ialah seperti Pak Sako ( Ishak Haji Mohamad ), Tongkat Warrant,
Keris Mas, Arena Wati, A. Samad Said, Shahnon Ahmad, Othman Kelantan, Adibah
Amin, Khatijah Hashim, Azizi Haji Abdullah dan ramai lagi tokoh yang
mengharumkan nama negara di pesada kesusasteraan Melayu. Dewasa ini, semakin
ramai penulis muda mula mengiatkan diri dalam bidang penulisan sastera dan
diharapkan suatu hari nanti akan melahirkan lebih ramai tokoh sastera yang
terkenal.
2.0
LATAR BELAKANG TOKOH
SASTERA
2.1. Biodata
Haji Azizi bin Haji Abdullah lebih
dikenali sebagai Azizi Haji Abdullah telah dilahirkan di Kampung Bukit Meryam,
Kota Kuala Muda Kedah pada tanggal 4 April 1942. Mendapat pendidikan awal di
sekolah rendah di kampung halaman tempat tumpah darahnya sehingga ke darjah
enam.
Setelah taman pengajian di sekolah
rendah, beliau telah meneruskan pengajiannya ke sekolah menengah iaitu Sekolah
Agama Dairatul Maarif Al-Wataniah, Kepala Batas, Seberang Perai, Pulau Pinang (
sekolah yang diasaskan olehTuan Guru Haji Ahmad Badawi, ayahanda kepada bekas
Perdana Menteri Malaysia iaitu Datuk Abdullah bin Ahmad Badawi ) hingga ke
tahun 1963.
Sejak di bangku sekolah menengah
lagi, Azizi Haji Abdullah memang gemar menulis. Bakat semulajadi yang ada pada
dirinya semakin menyerlah pada tahun 1963 apabila artikel pertamanya tersiar di
dalam Warta Negara, Pulau Pinang yang memaparkan tentang buruk baik wanita
bermain bola sepak dan kemudian diikuti dengan tersiarnya cerpen ‘Sisa’. Selain
itu, banyak hasil karya terutamanya cerpen telah diterbitkan di dada-dada
akhbar terutamanya Utusan Melayu.
Setelah tamat pengajian pada tahun
1965, Azizi Haji Abdullah telah mendapat tawaran menjadi guru agama di Sekolah
Kebangsaan Sungai Taka, Kulim, Kedah. Selepas itu, beliau bertukar ke Sekolah
Kebangsaan Ladang Dublin, Karangan, Kulim dan seterusnya ke Sekolah Kebangsaan
Tunku Abdul Malik, Kulim. Kemudian berkhidmat pula di Sekolah Kebangsaan Sungai
Kob, Kulim dan mengakhiri perkhidmatannya sebagai pendidik di Sekolah
Kebangsaan Sri Kulim, Kulim, Kedah pada tahun 1997. Selain menulis, Azizi ( lebih dikenali sebagai
Ustaz Azizi ) juga merupakan seorang jurulatih pasukan sepak takraw di
sekolahnya dan juga seorang tenaga pengajar lakunan drama yang hebat.
Setelah bersara, Azizi Haji Abdullah
tidak pernah duduk diam dan masih meneruskan karyanya dan menjadi Ketua Editor
akhbar Utusan Pengguna Pulau Pinang.
Beliau juga terus aktif sebagai penulis kolum dalam majalah-majalah tempatan
seperti Dewan Pelajar, Dewan Siswa dan lain-lain lagi. Detik cemas yang
dihadapi oleh Azizi ialah apabila beliau nyaris-nyaris didakwa di mahkamah
gara-gara penerbitan cerpen ‘Haji Salikun Cuba Berkhalwat’ dan cerpen tersebut
telah menjadi kontroversi.
Antara contoh Tabloit Utusan Pengguna Pulau Pinang
2.2. Sumbangan terhadap sastera dan bahasa
Melayu
Idea-idea yang dilemparkan melalui
penulisan cerpen dan novel serta skrip-skrip drama radio dan televisyen,
ternyata Aziz Haji Abdullah telah menyumbang satu alur pemikiran yang tidak
ternilai harganya. Hasil-hasil penulisannya dapat membantu perkembangan sastera
dan seterusnya memperkasakan bahasa Melayu yang menjadi bahasa kebangsaan
negara kita. Di samping itu juga, pengarang dapat memaparkan nilai-nilai murni
untuk kesejahteraan sejagat. Di antaranya ialah:
i). Nilai peradaban dan perpaduan
melalui tema keagamaan di mana nilai-nilai berunsur
agama Islam yang mendahului polemik sastera Islam. Hal ini dapat dilihat melalui penghasilan novel
‘Garis Lentang Anak Haram’ yang diterbitkan pada
tahun 1968, ‘Sami Mekong’, 1969; ‘Di Kolam Mulhamah’, ‘Seorang Tua di Kaki Gunung’,1982; ‘Cahaya di
Pedalaman’,1992; ‘Kawin-kawin’,2002. Sedangkan
polemik sastera berunsur Islam di negara kita banyak dan hanya berkembang sekitar tahun 80-an.
ii). Nilai tradisi lama dengan moden
melalui beberapa karya seperti ‘Seorang Tua di
Kaki Gunung’, ‘Senja Belum Berakhir’ dan ‘Menebus Maruah’.
iii). Nilai kesufian seperti yang
diluahkan di dalam karya ‘Dee’, ‘Latifah Rabbaniah’,
‘Di Kolam Mulhamah’, dan ‘Takah Tujuh’.
iv). Nilai-nilai sosial pelbagai
kaum yang diharapkan dapat menyatukan kaum- kaum
yang ada di negara kita selaras dengan kehendak kerajaan bagi melahirkan masyarakat yang saling
hormat-menghormati tanpa mengira kaum, agama dan warna kulit.
Walaupun sibuk dengan kegiatan
menulis, Azizi Haji Abdullah masih dapat meluangkan masa untuk melakukan
kegiatan-kegiatan sosial seperti menyampaikan atau membentangkan kertas kerja
tentang kesusasteraan, ceramah, bengkel pembinaan kesusasteraan dan lain-lain
lagi untuk masyarakat.
2.3. Kejayaan yang dicapai dalam bidang
penulisan
Berkat kesabaran dan tekun, usaha
yang tidak mengenal jemu serta minat yang mendalam dalam bidang penulisan,
Azizi Haji Abdullah telah menerima beberapa anugerah atas usahanya selama ini.
Antara kejayaan yang pernah dicapai oleh beliau ialah seperti:
i)
Novel
‘Sangeetha’ menerima Hadiah Sastera Mastera ke 5
ii)
Novel ‘Suriati’
menerima Hadiah S.E.A. Write Award pada tahun 1988 di mana anugerah ini hanya
diberikan kepada penulis-penulis Asia Tenggara.
iii)
Novel ‘Suriati’
sekali lagi memenangi hadiah pertama Sayembara Novel berunsur Islam anjuran
Bahagian Hal Ehwal Islam, Jabatan Perdana Menteri pada tahun 1992.
iv)
Novel ‘Harga
Sebuah Maruah’ telah memenangi tempat ke dua dalam Sayembara Mengarang Sempena
Jubli Emas DBP anjuran Dewan Bahasa dan Pustaka pada tahun 2008. Azizi telah
menerima wang tunai sebanyak RM40,000. 00.
v)
Novel ‘Seorang
Tua di Kaki Gunung’ pula telah memenangi tempat ke dua Hadiah Novel
GAPENA-Yayasan Sabah II pada tahun 1998.
vi)
Dalam Sayembara
cerpen anjuran Bahagian Agama Jabatan Perdana Menteri, Esso-GAPENA, Yayasan
Sabah-GAPENA, Hadiah Sastera Utusan Melayu-Public Bank dan badan-badan lain,
Azizi Haji Abdullah sering mendapat tempat yang membanggakan.
vii)
Pada tahun
90-an, beliau pernah meraih ‘Screen Play Radio Terbaik’ dalam Anugerah sri
Angkasa, anjuran RTM.
viii)
Pada 2010,
menerima hadiah Tokoh Budayawan Kedah daripada Sultan Kedah Tuanku Abdul Halim
di Istana Anak Bukit.
2.4. Kejayaan-kejayaan lain
Selain daripada
kejayaan-kejayaan yang dinyatakan di atas, hasil-hasil karya Azizi Haji
Abdullah ini juga telah mendapat penghargaan dan dijulang sebagai teks kajian
pelajar untuk peperiksaan awam SPM mahupun difilemkan untuk tontonan
masyarakat.
Berikut adalah kejayaan lain yang
diberikan kepada pengarang yang terkenal ini:
i). Novel
‘Seorang Tua di Kaki Gunung’ telah difilemkan sebagai filem drama
televisyen dan penggambarannya dilakukan di tempat seperti yang terdapat di dalam novel
itu sendiri.
ii). Novel
‘Seorang Tua di Kaki Gunung’ juga telah dianggap sebagai salah satu novel Malaysia
Pilihan Abad 20 dan telah diterjemahkan ke dalam bahasa Jepun oleh Dr. Fujimorial
dan Tahiyibah Sulaiman.
iii). Hasil karya Azizi terus mendapat tempat apabila hasil cerpen
‘Beruk’ yang
disiarkan dalam Majalah Dewan Bahasa pada Disember 1970 telah menjadi teks
sastera antologi ‘Jejak Langkah’.
iv). Cerpen
‘Tulang Pekasam Ikan Puyu’ bukan sahaja menerima hadiah cerpen terbaik, malah ianya turut
difilemkan untuk drama televisyen melalui
sayembara penulisan skrip tv ketika itu.
Atas jasa serta sumbangannya yang
banyak dalam bidang sastera dan menaikkan nama anak jati Kedah, Azizi Haji
Abdullah telah dianugerahi pingat Ahli Mangku Negara ( AMN ) pada tahun 1976
oleh Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang Di Pertuan Agong.
Menerima pingat AMN pada tahun 1976 ( Ikhsan dari Album Azizi
yang diperolehi di
rumah kediamannya melalui
isteri beliau, Puan Hjh. Zabedah Yusof )
Menerima anugerah
daripada Sultan Kedah pada 2010 ( Ikhsan
dari
album Azizi, oleh isteri dan anaknya )
3.0
KARYA-KARYA
YANG DIHASILKAN
Sekali menulis, Azizi Haji Abdullah terus
menulis dan bergiat dalam bidang penulisan tanpa menoleh ke belakang lagi.
Sejak itu, beliau terus menghasilkan karya-karya yang sentiasa mendapat
sambutan hangat di kalangan pembaca seperti novel dan cerpen. Tidak
ketinggalan, beliau juga menghasilkan penulisan bukan fiksyen berbentuk
kritikan.
Selain itu, Azizi juga telah
menggunakan beberapa nama selain nama sebenar, seperti Jamong, Qalam Adly,
Anita, Shahrul Manjarishah, Tan Sri Sasterawan, Sri Bungsu, Tukya dan
lain-lain. Sepanjang kariernya sebagai penulis, telah hampir 200 cerpen, lebih 30 novel dan beberapa antologi cerpen
telah dihasilkan oleh beliau. Selain dari itu, beliau juga banyak menulis
skrip-skrip radio untuk RMT dan beberapa drama televisyen. Antara sebahagian daripada
karya-karya yang dihasilkan oleh beliau adalah seperti berikut:
3.1. Novel
Garis Lintang Anak Haram. Kuala Lumpur : Pustaka Sari, 1968.
Senja Belum Berakhir. Singapura : Pustaka Nasional, 1971.
Bila Hujan Malam. Kuala Lumpur : Amir Enterprise, 1976.
Sami Mekong. Kuala Lumpur : Penerbitan Utusan Melayu, 1976.
Tini. Kuala Lumpur : Utusan Publication & Distributor, 1977.
Ayah Bonda. Kuala Lumpur : Pustaka Sistem Pelajaran, 1978.
Di Kolam Mulhamah. Kuala Lumpur : Garis Cinta Books, 1978.
Gadis Itu Bernama Ina. Petaling Jaya : Karya Pub. House, 1978.
Seorang Tua di Kaki Gunung. Kuala Lumpur : DBP, 1982.
Debu Takdir. Subang Jaya : Tra-Tra Publishing, 1982.
Dee. Shah Alam : Marwilis Publisher, 1987.
Melukut Kota. Kuala Lumpur : Penerbitan Azam , 1987.
Asyraq. Kuala Lumpur : Penerbitan Azam , 1987.
Juak. Kuala Lumpur : DBP, 1989.
Yang
Merusuh. Kuala Lumpur : Penerbitan Kintan, 1991.
Tukcai. Petaling Jaya : Fajar Bakti, 1991.
Menebus Maruah. Shah Alam : Marwilis Publisher, 1991.
Beruk. Kuala Lumpur : Penerbitan Kintan, 1991.
Anak Kampung Kuala Raga. Kuala Lumpur: DBP, 1991.
Anak Belantara. Shah Alam : Marwilis, 1992.
Cahaya di Pedalaman. Kuala Lumpur: DBP, 1992.
Dunia Bukan Syurga. Kuala Lumpur : Creative Enterprise, 1993
Sinappapal. Kuala Lumpur: DBP, 1993.
Suriati. Kuala Lumpur : Bahagian Hal Ehwal Islam Jabatan Perdana Menteri, 1993.
Hoi!. Petaling Jaya: Fajar Bakti, 1994.
Wi dan Wiliam. Seri Kembangan: Utusan Publications, 1995.
Buih. Kuala Lumpur : Creative Enterprise, 1995.
Ateik Putriba. Kuala Lumpur : Creative Enterprise, 1996.
Ayahanda. Kuala Lumpur : Creative Enterprise, 1997.
Pencinta Alam. Kuala Lumpur: Berita Publishing, 1998.
Kawin-kawin. Seri Kembangan: Utusan Publications , 2002.
Sangeetha. Kuala Lumpur: DBP, 2006.
Memoir Seorang Guru. Selangor: Alaf 21, 2007.
Harga Sebuah Maruah. Kuala Lumpur: DBP, 2007.
Zikir Rindu. Shah Alam: Alaf 21, 2009.
Daerah Beta. Kuala Lumpur: DBP, 2009.
Badai Cinta. Kuala Lumpur: Al-Ameen, 2011.
Tukcai. Petaling Jaya : Fajar Bakti, 1991.
Menebus Maruah. Shah Alam : Marwilis Publisher, 1991.
Beruk. Kuala Lumpur : Penerbitan Kintan, 1991.
Anak Kampung Kuala Raga. Kuala Lumpur: DBP, 1991.
Anak Belantara. Shah Alam : Marwilis, 1992.
Cahaya di Pedalaman. Kuala Lumpur: DBP, 1992.
Dunia Bukan Syurga. Kuala Lumpur : Creative Enterprise, 1993
Sinappapal. Kuala Lumpur: DBP, 1993.
Suriati. Kuala Lumpur : Bahagian Hal Ehwal Islam Jabatan Perdana Menteri, 1993.
Hoi!. Petaling Jaya: Fajar Bakti, 1994.
Wi dan Wiliam. Seri Kembangan: Utusan Publications, 1995.
Buih. Kuala Lumpur : Creative Enterprise, 1995.
Ateik Putriba. Kuala Lumpur : Creative Enterprise, 1996.
Ayahanda. Kuala Lumpur : Creative Enterprise, 1997.
Pencinta Alam. Kuala Lumpur: Berita Publishing, 1998.
Kawin-kawin. Seri Kembangan: Utusan Publications , 2002.
Sangeetha. Kuala Lumpur: DBP, 2006.
Memoir Seorang Guru. Selangor: Alaf 21, 2007.
Harga Sebuah Maruah. Kuala Lumpur: DBP, 2007.
Zikir Rindu. Shah Alam: Alaf 21, 2009.
Daerah Beta. Kuala Lumpur: DBP, 2009.
Badai Cinta. Kuala Lumpur: Al-Ameen, 2011.
Antara
novel-novel yang dihasilkan oleh Azizi Haji Abdullah
Novel terakhir
Azizi Haji Abdullah sebelum meninggal dunia
"Novel
terbaru yang baru siap setebal 299 muka bertajuk ‘MANDALA DUNIA KE DUA’ mujur
menjadi peneman. Untuk edit kali ke 8 dan terakhir dapat juga dilakukan secara
penyegan. Alhamdulillah rasanya sempat habis sebelum bedah. Jika hayat saya pendek,
barangkali inilah
Novel
terakhir saya”
Petikan
di atas adalah daripada tulisan Allahyarham sendiri di dalam blognya (Jemu Yang Terpaksa)
3.2. Antologi Cerpen
Latifah Rabbaniah. Kuala Lumpur : DBP, 1976.
Keakuan. Kuala Lumpur : Heinemann Educational Books (Asia), 1978.
Rindu Bonda. Pulau Pinang : Teks Publishing, 1980.
Songsang. Kuala Lumpur : Teks Publishing, 1984.
Pertiwi. Kuala Lumpur : Teks Publishing, 1985.
Mardudah. Shah Alam : Marwilis Publisher, 1987.
Istiqamah. Kuala Lumpur : DBP, 1988.
Bibit Cinta. Kuala Lumpur : Penerbitan Pena, 1989.
Jangan Pisahkan Aku!. Petaling Jaya : Penerbit Sasbadi, 1997.
Pendoa Yang Ikhlas. Kuala Lumpur : DBP, 2005.
Antara antologi cerpen yang dihasilkan oleh
Azizi Haji Abdullah
Antara cerpen-cerpen
yang tersiar di akhbar-akhbar
3.3. Antologi Bersama
Intan Terpilih. Kuala Lumpur: Penerbitan Utusan Melayu, 1966.
Terkangkang. Melaka : Gerkap Sekawan, 1969.
Cerpen-cerpen Malaysia. Kuala Lumpur: Penerbitan Universiti Malaya, 1977.
Jelapang. Pulau Pinang: Teks Publishing, 1981.
Bunga Gunung. Kuala Lumpur: Berita Publishing, 1982.
Jelapang II. Pulau Pinang: Teks Publishing, 1983.
Menjunjung Titah Perintah. Subang Jaya: Tra-Tra Publishing, 1984.
Titian Laut. Kuala Lumpur: DBP, 1984.
Angin Pulau. Kuala Lumpur: Teks Publishing, 1985.
Dongeng Merdeka. Petaling Jaya: Penerbit Fajar Bakti, 1985.
Alun Menggulung Perlahan. Petaling Jaya: Penerbit Fajar Bakti, 1986.
Antologi Bersama yang pernah dihasilkan oleh
Azizi Haji Abdullah
3.4. Antologi Sayembara
Sesudah Senja. Kuala Lumpur: Utusan. 1990. 'Zaimah Yang Kubunuh'.
Meja tempat Azizi
menulis terletak di bilik sumber mini di rumahnya.
3.5. Bukan Fiksyen
Gaya Hidup Ranggi. Merbok: Teras, 2002.
Siapa Khianat Siapa. Kulim : Penerbitan Azizi, 2003.
Luka Rakyat. Kedah: Teras, 2003.
UMNO Kelam kabut & Fobia Oktober. Kulim, Kedah : Penerbitan Azizi, 2003.
Ulat-Ulat UMNO. Kulim: Penerbitan Azizi, 2004.
Hentikan Hutang dan Boros. Penang: Persatuan Pengguna Pulau Pinang, 2005.
Kuras-Kuras Kreatif. Kuala Lumpur: DBP, 2007.
Sayap-Sayap Selepas Senja. Penang: Goal Intelligent Publishing, 2008.
Mustadh'afin Yang Tertindas. Penang: Persatuan Pengguna Pulau Pinang, 2008.
Jiwa Hamba. Penang: Persatuan Pengguna Pulau Pinang, 2008
Antara
karya-karya bukan fiksyen tulisan Azizi Haji Abdullah
4.0
KARYA
PILIHAN
Di antara
novel-novel yang dihasilkan oleh Azizi Haji Abdullah ini, penulis telah memilih
sebuah karya yang ke sembilan beliau iaitu ‘Seorang Tua di Kaki Gunung’
sebagai pilihan untuk dibuat analisis mengenai bahasa dan gaya persembahan yang
telah dihasilkan oleh pengarangnya. Novel ini juga telah dijadikan sebagai teks
sastera untuk calon-calon SPM di sekolah seluruh negara oleh Dewan Bahasa dan
Pustaka pada tahun 1982. Selain itu,
novel ini juga telah diabadikan di dalam sebuah filem drama televisyen sekitar
tahun 90-an untuk tontonan umum.
Novel
karya Azizi Haji Abdullah – Seorang Tua di Kaki Gunung
4.1
Sinopsis
Novel Pilihan
Di dalam novel ‘Seorang Tua di Kaki
Gunung’ ini mengetengahkan watak utamanya iaitu seorang tua yang tinggal di
sebuah kampung pedalaman di daerah Kulim. Melalui watak Tukya, seorang bapa
kepada Fikri dan datuk kepada Lamin dan Farid, pengarang cuba memperlihatkan
sikap golongan tua yang tetap keras dalam usahanya mempertahankan pendiriannya
terhadap corak kehidupan tradisi, yang amat rapat dengan alam semula jadi di
kaki Gunung Bongsu, dan penuh pantang larang dalam membuat sesuatu kerja kerana
dia menganggap kerja itu sangat mulia dan patut dihormati. Konflik antara
kehidupan di bandar besar Kuala Lumpur yang dialami oleh anak menantu serta
cucunya dengan kehidupan Tukya di desa
adalah amat ketara sekali digambarkan oleh pengarang dalam novel ini. Kekuatan
utama novel ini terserlah pada aspek perwatakan dan latarnya. Pengarang telah
memperlihatkan usaha yang bersungguh-sungguh dalam melukiskan gambaran alam
hutan untuk menimbulkan perhubungan erat dan selari antara usia Tukya yang dianggap ‘keras’ atau degil dengan
kehidupan tradisi yang dianggap murni. Walaupun begitu, Tukya adalah lambang
seorang manusia yang gigih dalam usaha mempertahankan pendiriannya hingga ke
akhir hayat.
4.2
Tema
Seorang Tua di Kaki Gunung
memperlihatkan kegigihan serta sikap seorang tua iaitu Tukya yang cuba
mempertahankan cara hidup tradisi yang dianggapnya sebagai unggul, mulia dan
dihormati. Tukya juga digambarkan sebagai seorang yang keras hati, sanggup
mempertahankan harga diri serta tidak mudah mengalah dengan keadaan
sekelilingnya. Beliau tidak menghiraukan sama ada ditertawakan oleh masyarakat
atau dipujuk oleh anaknya sendiri untuk berubah kepada kehidupan yang lebih
selesa. Tukya tetap dengan pendiriannya sehingga ke akhir hayatnya.
4.3
Persoalan
Banyak persoalan yang ditimbulkan
oleh pengarang dalam novel ini, antaranya ialah tentang sikap keras hati yang
membawa kepada sesuatu padah atau musibah yang menimpa diri Tukya seperti
disengat lebah ketika mencari madu lebah dan ditimpa pokok cengal ketika
menebang di hutan. Selain daripada itu,
persoalan lain yang diketengahkan ialah tentang harga diri. Tukya merupakan
seorang yang kuat semangat dan sanggup mempertahankan harga dirinya walaupun
apa yang berlaku ke atas dirinya tetap dihadapi dengan tabah. Beliau juga tidak
memandang kebendaan atau wang ringgit yang diberikan oleh anaknya sendiri.
Persoalan yang paling ketara diutarakan oleh pengarang dalam novel ini ialah
mengenai kemiskinan sama ada yang dihadapi oleh Tukya sendiri mahupun
masyarakat kampung tersebut. Kemiskinan yang digambarkan termasuklah keadaan
rumah Tukya yang uzur, ketiadaan kelengkapan atau peralatan yang moden di
rumahnya seperti televisyen mahupun radio serta perabot-perabot mewah,
ketiadaan bilik mandi atau tandas yang sempurna, makan minum yang sederhana dan
sebagainya lagi.
4.4
Mesej
Novel Seorang Tua di kaki Gunung ini
sebenarnya ingin menyampaikan mesej yang tersirat tentang kehidupan seorang tua
atau bapa yang tidak mahu meminta jasanya dibalas oleh anaknya sendiri walaupun
anaknya telah berjaya dan hidup senang di bandar. Walaupun hidup serba
kekurangan, Tukya masih selesa tinggal di kampung dan menjalankan kehidupan
seharian tanpa meminta pertolongan daripada anak menantunya. Mesej
kemasyarakatan juga dapat ditonjolkan oleh pengarang bila mana penduduk kampung
bekerjasama serta tolong-menolong dalam menjalani kehidupan mereka seharian
termasuklah membantu Tukya yang ditimpa kemalangan.
5.0
GAYA
BAHASA DAN GAYA PERSEMBAHAN
Menurut Dr. Harun Jaafar (2008), gaya
bahasa merupakan suatu pemindahan semua unsur bahasa yang dimiliki oleh seseorang pengarang untuk menerangkan
semua idea dan pemikirannya tentang
persoalan dan permasalahan yang menjadi renungannya. Penggunaan bahasa yang
tersendiri akan menjadikan sesebuah karya itu hebat di kaca mata pembaca.
Di dalam novel “Seorang Tua Di Kaki
Gunung” ini, pengarangnya Azizi Haji Abdullah
menggunakan pelbagai gaya bahasa dalam mempersembahkan sebuah karya yang baik
dan menarik. Pengarang dikatakan amat matang dalam memilih dan menggunakan
kata-kata yang mudah dan sering digunakan dalam pertuturan harian pembaca.
5.1. Bahasa
Beberapa aspek
bahasa yang boleh diberi perhatian di dalam novel Seorang Tua di Kaki Gunung
ialah seperti berikut:
5.1.1. Ayat
Pengarang menggunakan ayat yang
pendek-pendek dan mudah difahami dan sesuai
dengan jalan cerita yang hendak disampaikan. Pembaca tidak perlu berfikir terlalu banyak untuk memahami idea yang
ingin disampaikan kerana ayat yang pendek
dan tepat dapat menyampaikan maksud dengan jelas.
Contoh ayat: Hujan turun lebat juga. Tidak ada tanda
hendak sereyat. Tidak semena-mena
Tukya terasa setitik dua air hujan jatuh ke atas bahunya. Tukya mendongak. Hairan benar kerana setahunya
atap tidak bocor. (Halaman 9 ).
5.1.2. Perkataan asing
Terdapat juga penggunaan perkataan
asing seperti bahasa Inggeris dan bahasa Arab
tetapi tidaklah begitu ketara. Sebagai contoh perkataan bahasa Inggeris; asbestos ( halaman 28), Division
( hal. 77,80 ), money order ( hal. 4 ) dan Austin Cambridge ( hal. 80 ). Manakala
penggunaan bahasa Arab pula adalah seperti Akidah
( hal.16), Quran (hal. 43, 45 dan 78 ), Bismillah ( hal.78 ), Syaaban
( hal. 113 dan 114 ), Rasulullah
( hal. 150 ) dan beberapa perkataan lain lagi yang sering
kita gunakan sebagai sebutan seharian.
5.1.3. Diksi
Menurut Dr. Harun Jaafar (2008),
diksi membawa maksud pemilihan kata dan penyusunan
kata di dalam percakapan atau penulisan.
Dari sudut penampilan, diksi yang baik
haruslah tepat, sesuai serta istimewa dengan persoalan dan perasaan di dalam sesebuah karya. Sehubungan
dengan itu, diksi di dalam karya mengandungi
kata-kata yang bersifat denotasi dan konotasi.
Denotasi membawa maksud makna yang tepat atau tiada makna lain lagi bagi sesuatu kata atau ayat. Contohnya, Bengkak
dan sembab di muka serta di sekitar dada
dan tengkuk, seperti kian membengkak pada penglihatan Lebai ‘At (Halaman 77 ).
Manakala konotasi pula membawa
maksud perkataan atau ungkapan yang menimbulkan
makna tambahan. Contoh ayat adalah seperti; Besah berharap dengan menyapukan air penawar itu Tukya akan
membukakan mata dan bibir dapat
bergerak mengucap dua kalimah syahadat. Kalau matipun biarlah dapat mengucap.( Halaman 78 )
5.1.4. Anagogi
Analogi membawa maksud penafsiran
sesuatu kata berdasarkan pengertian spiritual
atau mistik. Sebagai contoh, Besah kadang-kala bersungut juga, tetapi Tukya cepat-cepat menengking, “Ke Mekah
menunaikan haji biar duit sendiri. Haji
tak wajib bagi orang tak berkuasa dan tak mampu!” ( Halaman 5 ). Maksud Mekah di sini ialah tempat umat Islam
menunaikan ibadat haji di tanah suci.
5.1.5. Sindiran
Sindiran disebut juga sebagai sinis
atau sarkasme adalah kata-kata yang bertujuan untuk
menjatuhkan martabat atau menaikan kemarahan seseorang. Sebagai contoh;
“Alaa, kita ni dah tua, takkan
pokok dua tiga pemeluk tu sanggup nak tebang! Kalau
ya pun, ukurlah sama dengan tenaga tu!” ( Halaman 114)
“Lamin selalu cerita yang Atuk
kuat naik bukit, Atuk kuat tebang pokok, Atuk kuat
tarik rotan, tetapi kenapa Atuk tak lawan lebah yang kecil tu?” Farid seperti menyindir. (Halaman 90 )
5.1.6. Sinkop
Sinkop membawa maksud penyingkiran
kata dengan menghilangkan huruf atau suku
kata. Di dalam novel ini banyak digunakan unsur-unsur ini terutamanya di dalam dialog. Contoh perkataan yang
digunakan adalah seperti “Kalau nek mau abang Farid tinggal di sini, nek mesti buat rumah
besar sikit”( Halaman 45 ).
Contoh lain di halaman 47:
“Esok atuk nak ambil madu
lebah?”
“Nak ikut?”
Lamin mengangguk.
“Tadi tak letih?”
“Nek dah urut.”
5.1.7. Imej dan Imejan
Imej dan imejan ini menggambarkan
sesuatu gambaran yang telah dikenali umum.
Di dalam novel ini, banyak imej alam diketengahkan seperti huma, rimba, hutan, sungai, bendang, gunung, semak,
londang dan lain-lain lagi.
5.1.8. Onomotopoeia
Ungkapan ini membawa maksud tiruan
bunyi. Di dalam novel Seorang Tua Di Kaki
Gunung ini tidak ketinggalan menggunakan unsur onomotopoeia ini seperti di halaman 38, 39 dan 40 yang menunjukkan
bunyi ketukan kayu kecil untuk memanggil
pelanduk.
Trekk-trekk! Trekk tek-tek!
Treeek-trekk tek-tek!
Treekkkk-treekkkk!
5.1.9. Personafikasi
Personafikasi adalah satu lagi
bentuk perbandingan, namun perbandingan yang dimaksudkan
adalah memberi sifat perorangan atau sifat manusia kepada benda bukan manusia. Antara elemen personafikasi
yang terdapat di dalam novel ini ialah
seperti pokok-pokok besar yang tegak lurus tercegat gagah ( Halaman43 ),
puntung itu
terlompat-lompat ke kiri ke kanan oleh timpaan titik-titik hujan yang tidak berhenti-henti ( halaman 6 ). Malam
semakin merangkak. Malam dingin bila angin
dari gunung mencuri masuk dari celah dinding ( halaman 77 ).
5.1.10. Simile
Perkataan simile
ialah perbandingan terus yang menggunakan kata-kata ‘bak’’ ‘seperti’, ‘macam’, ‘bagai’ dan lain-lain
lagi. Terdapat beberapa perkataan simile yang
digunakan oleh pengarang bagi menunjukkan perbandingan di dalam novel terkenal ini, antaranya di halaman 66, “Tukya
kelihatan duduk menongkat kaki bagai
seekor anjing lelah gagal menghambat babi.” Terdapat perbandingan lain yang turut dipaparkan di halaman 105, “Badan
yang kurus melengkung itu seperti batang
tempeneh yang amat sukar ditarik.”
5.1.11. Paralelisme
Paralelisme merujuk kepada ulangan
pada bentuk frasa, ayat, atau baris. Contoh paralelisme
yang dibentuk oleh pengarang ialah seperti di halaman 137:
Maka jadilah pagi itu pagi
kesembilan.
Maka jadilah pagi itu pagi
kesepuluh.
Maka jadilah pagi itu pagi
kesebelas.
Pagi kedua belas. Pagi ketiga belas.
Sambung lagi, maka jadilah pagi
keempat belas.
Dan sambung lagi, maka masuklah hari
kelima belas.
Dan akhirnya pagi itu pagi keenam
belas.
Tukya merasa lega.
5.1.12. Ironi
Ironi adalah menggambarkan
pertentangan, iaitu pertentangan antara apa yang sebenarnya tentang sesuatu dengan apa yang dilihat, apa yang
berlaku atau apa yang sepatutnya ada. Ada
tiga jenis ironi di dalam kesusasteraan iaitu ironi kata, ironi dramatik dan ironi situasi.
Namun, di dalam novel ini hanya terdapat dua ironi
sahaja iaitu:
a) Ironi kata; disebut juga sebagai bahasa terbalik.
Contohnya di halaman 113:
“Dirikan
rumah?” Besah bertambah hairan. “Dengan apa?” Besah amat tertarik.
Tukya
menguak jendela. Angin malam menerpa. Dari jauh terdengar bunyi burung hantu
bersahut-sahutan.
“Tak
kan orang diri rumah dengan pasir,” katanya seperti
menyindir.
b) Ironi situasi iaitu apabila berlaku satu
pertentangan wujud antara pengharapan dengan pelaksanaan, atau
antara apa yang ada dengan apa yang sebenarnya terjadi. Contohnya:
Besah yang Cuma memakai baju kurung Kedah berleher bulat dengan
kain pelekat yang sudah lasam itu, terjongok
ditepi dapur seperti mahu menyuruh api menyala kuat dan mendesak
puluttanaknya cepat masak. ( Halaman 19 )
“Alaaa, kita ni dah tua, tak kan nak tebang pokok dua tiga pemeluk tu
sanggup
nak tebang? Kalau ya pun, ukurlah sama dengan tenaga tu”. ( Halaman 114 )
5.1.13. Perulangan
Membawa maksud kata atau kata-kata
yang diulang di dalam sesuatu ayat. Contohnya:
Besah mendongak melihat
kalau-kalau ada lelehan lagi.
Tukya mendongak menanti
kalau-kalau ada lelehan lagi.
Tidak ada!
( Halaman 10 )
Kawasan itu semak oleh pokok-pokok
gendang rusa, pokok-pokok kememeh, pokok-pokok
senduduk, pokok-pokok letup, meraga, malabera bukit, landas paya, tinjau belukar, mengkudu, selaput tunggul. ( Halaman 56 )
5.1.14. Aliterasi
Aliterasi pula merupakan gaya bahasa
yang wujud pengulangan bunyi konsonan yang
sama. Contohnya pengulangan konsonan ‘y’.
Tukya sungguh-sungguh merasa
hairan, mengapa Fikri yang besar, yang belajar,
yang tidur, yang jaga, yang bermain, yang berkubang
di sini dahulu, tiba-tiba sudah
dapat kerja bergaji besar seperti mahu melupakan semuanya? ( Halaman 17).
5.1.15. Asonansi
Asonansi pula merupakan gaya bahasa
yang wujud pengulangan bunyi vokal yang
sama. Contohnya pengulangan vokal ‘a’:
“Tetapi harap-harap Taha ada.
Bapa Taha ada. Emak Taha ada. Tukya terus meredah hujan lebat”. ( Halaman 13 )
5.1.16. Anafora
Gaya bahasa yang melibatkan anafora
ialah suatu unsur bahasa repetisi atau pengulangan
kata pertama pada setiap baris atau kalimat. Contoh anafora di dalam novel ini dapat diperlihatkan pada halaman
34:
Alangkah….alangkah
tegap dan cantiknya cengal itu, bisik Tukya.
Alangkah….alangkah besarnya
batang berbanir itu.
Alangkah…alangkah tingginya.
Tukya terbayang, jika cengal itu tumbang.
5.1.17. Epifora
Epifora pula memperlihatkan
pengulangan kata pada akhir setiap baris atau ayat atau kalimat berurutan. Contoh yang dapat diberikan adalah
seperti di halaman 4.
Tukya masih bangga.
Besah juga bangga.
Orang kampung tumpang seronok.
5.1.18. Simplok
Simplok adalah gaya bahasa yang
serupa dengan pengulangan pada awal dan akhir
beberapa baris atau kalimat yang berturut-turut. Pengarang telah memasukkan unsur ini ke dalam hasil
penulisannya. Contoh simplok adalah seperti
di halaman 101.
“Itulah anak kita. Itulah cucu
kita dan itulah menantu kita,” bisik Besah perlahan-lahan dan bisikannya itu mengelus ke lubang
telinga Tukya.
5.1.19. Responsi
Responsi pula merujuk kepada gaya
bahasa repetisi yang mewujudkan pengulangan
kata atau frasa di tengah-tengah baris atau beberapa kalimat berturutan. Contoh responsi yang terdapat di
dalam novel ini ialah seperti:
Sahihlah kereta itu kereta Fikri.
Sahihlah Fikri balik. Sahihlah kejadian itu diketahui
Farid. ( Halaman 88 )
Dia berharap dalam masa sebulan
itu janganlah datang, janganlah Fikri balik, janganlah
Fatimah balik, janganlah Farid balik. ( Halaman 111 ).
5.1.20. Dialek
Dialek disebut juga sebagai loghat
daerah. Di dalam karya ini, pengarang banyak menggunakan
atau memperkenalkan dialek utara. Antara contoh-contoh dialek yang dimasukkan ke dalam karya ini
adalah seperti gincah ( halaman 19 ),
mengerekot (hal.19 ), meragas ( hal. 21 ), terkernyih
( hal. 62 ), bakup ( hal.68 ), misan
( hal.83 ), terpelecok ( hal.92 ) dan lain-lain lagi yang menjadikan
pembaca ingin mengetahui lebih lanjut
tentang bahasa-bahasa daerah yang digunakan.
5.1.21. Sarkasme
Ia merupakan gaya bahasa yang
mengandungi olok-olok atau sindiran pedas dan menyakitkan
hati. Antara unsur sarkasme yang digunakan oleh pengarang seperti di halaman 84.
Lamin yang meniarap di sisinya
tersengih, “Atuk kuat! Atuk kuat!”, katanya.
“Kuat apakalau lebah hambat pun tak
dapat lari,” Besah semakin merendah- rendahkan
kekuatan Tukya. Barangkali itulah kali yang terakhir dia mahu melepaskan geram yang sekian lama
menanah di dalam dirinya.
5.2. Gaya persembahan
Dalam melahirkan sesebuah novel,
gaya persembahan juga diambil kira di mana beberapa perkara perlu diperhatikan
terutamanya plot atau jalan cerita yang dipaparkankan oleh pengarang sama ada
dapat menarik perhatian pembaca atau sebaliknya. Novel Seorang Tua di Kaki
Gunung ini sudah tidak terikat dengan gaya atau ciri-ciri tradisional kerana
pengarangnya banyak memasukkan atau menyelitkan
unsur-unsur ‘flash back’ atau sorot kembali kisah-kisah lama di
dalam ceritanya. Terdapat juga teknik monolog iaitu pengucapan yang dibuat lain
tanpa watak yang ditujukan pada watak lain tanpa kehadiran watak lain itu.
Contohnya; Tukya marahkan Fikri kerana menyatakan rumahnya buruk.
(Halaman 48).
Selain itu, terdapat juga teknik
monolog dalaman iaitu watak tersebut sedang berfikir di dalam mindanya atau
berkata di dalam hatinya, seperti contoh: Tukya berfikir di kepalanya bahawa
Fikri sudah bencikannya kerana tidak balik pada hari yang dia patut balik dan
bagaimana Fikri akan ketawa terbahak-bahak melihat kayu tumbang dan tidak
mungkin Tukya dapat mengusahakannya. (Halaman 149).
Penggunaan dialog juga dilihat
menggunakan kata-kata yang pendek, tepat dan bersahaja. Pengarang dapat
membangkitkan rasa seperti pembaca yang sedang bercakap dan tidak menimbulkan
rasa kebosanan.
Contoh dialog:
( Halaman 90 )
“Lebah yang sengat atuk ‘tu di
mana?” tiba-tiba Farid bertanya.
Tukya menunding jari ke arah hutan
di sebelah kanan. “Di sana,” katanya.
“Banyakkah?”
“Banyak.”
“Kenapa atuk tak lawan?
5.2.1. Plot
Plot biasanya dihasilkan daripada
perencanaan pengarang untuk memperlihatkan sebab-sebab serta akibat di dalam
sesuatu persoalan. Di dalam novel ini, pengarang masih lagi menyusun plot
ceritanya seperti cara tradisional iaitu permulaan cerita, urutan peristiwa (
sebab dan akibat ), puncak cerita (klimaks), anti klimaks dan diakhiri dengan
penyelesaian atau peleraian.
Plot cerita di dalam novel ini
bermula dengan pengenalan watak Tukya dan kisah perkampungan di kaki bukit di
mana terjadi atau berlakunya cerita ini. Kemudian diikuti dengan kehadiran cucunya
( Lamin ) yang balik ke kampung untuk
tinggal sebentar bersama Tukya. Lamin telah diajar cara-cara kehidupan di
kampung termasuklah hal-hal berkaitan dengan hutan.
Jalan cerita seterusnya berterusan ke
puncak klimaks apabila Tukya yang berusaha untuk mendapatkan madu lebah di
dalam hutan dan berlakunya konflik disengat lebah hingga Tukya dirawat di
hospital. Kemudian disambung lagi dengan konflik lain iaitu kedegilan Tukya
untuk menebang pokok cengal untuk dibuat rumah.
Anti klimaks pada jalan cerita ini
membawa kepada kematian Tukya akibat ditimpa pokok cengal yang ditebangnya dan
adegan inilah yang menjadi peleraian atau kesudahan cerita di mana Besah
(isteri Tukya tidak dapat menolong
menyelamatkan suaminya yang ditimpa kemalangan tersebut. Di akhir cerita Besah
tetap tinggal di kampung itu dan tidak mahu berpindah ke bandar walaupun
dipujuk oleh anak menantunya untuk berbuat demikian.
6.0
RUMUSAN
Setelah dibaca dan dianalisis,
didapati bahawa novel Seorang Tua di kaki Gunung tulisan Azizi Haji Abdullah
ini tidak mempunyai persamaan dengan mana-mana novel yang lain atau terdahulu
daripadanya. Ini menunjukkan bahawa novel ini merupakan novel asli yang
dicetuskan sendiri melalui idea pengarang dan berdasarkan pengamatan serta
pengalamannya yang tinggal di kawasan tersebut pada suatu masa dahulu. Idea
yang disampaikan melalui novel ini sangat menarik dan tidak hairanlah jika
novel ini diangkat sebagai karya agung yang telah dijadikan teks kesusasteraan
untuk pelajar sekolah khasnya kepada caloncalon SPM sedikit masa dahulu dan difilemkan untuk
tontonan umum.
Gaya bahasa, plot serta tema yang
diketengahkan oleh pengarang amat menarik dan dapat menggambarkan situasi
masyarakat pedalaman yang masih mengekalkan cara hidup tradisional dan watak
yang ditonjolkan itu dapat mewakili sebahagian daripada penduduk kampung yang
masih berpegang teguh pada adat serta menerapkan nilai-nilai keharmonian dan
kerjasama yang semakin hilang di masa kini. Pengarang sememangnya peka dengan
keadaan tersebut dan dapat menimbulkan kembali saat-saat manis dan dapat
mengimbau kenangan lalu kepada sesetengah pembaca yang pernah mengalami keadaan
yang sama atau yang hampir serupa dengan cerita yang diutarakan itu.
Sememangnya novel seorang Tua di
Kaki Gunung ini telah dapat mengharumkan nama pengarang yang berusaha
mengetengah cara hidup masyarakat pedalaman yang masih mengekalkan cara hidup
lama dan tidak mementingkan kebendaan atau meterial demi mengejar kemajuan atau
permodenan semata-mata. Ternyata, novel ini amat sesuai dibaca oleh semua
lapisan masyarakat sama ada untuk tujuan hiburan ataupun untuk pengetahuan.
Penulis
di hadapan rumah Azizi Haji Abdullah ketika membuat kajian
Kediaman
Azizi Haji Abdullah sekeluarga di Taman Bersatu, Kulim.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan