Sabtu, 8 September 2012

SEORANG TUA DI KAKI GUNUNG - SATU TINJAUAN


1.0              PENGENALAN

            Sejak awal tahun 20-an lagi sehinggalah sekarang, negara kita telah melahirkan ramai tokoh sastera yang terbilang. Lantaran itu, tidak kurang juga karya yang telah dihasilkan oleh mereka dalam memperkembangkan dunia kesusasteraan Melayu. Sastera merupakan satu bidang yang amat unik. Keunikan bidang sastera amat dirasai apabila kita dapat menyelami dunia sastera ini bersama-sama tokoh-tokoh sastera yang terkemuka. Kesusasteraan dan masyarakat mempunyai hubungan yang amat erat. Sesebuah karya kesusasteraan terutamanya novel, dibina berasaskan  persoalan-persoalan yang dipetik daripada rencamnya kehidupan sesuatu masyarakat. Secara kreatif, persoalan-persoalan akan dijalin bersama susunan bahasa yang indah dan tepat bagi menggambarkan sesuatu dengan lebih jelas. Persoalan dan tema penceritaan yang relevan dengan budaya masyarakat akan menjadikan sesebuah karya itu lebih mesra dan diterima oleh pembaca.  Jalinan cerita yang dihasilkan dengan teliti akan menjadikannya satu rantaian peristiwa yang mempunyai kesenimbungan antara satu sama lain dan akhirnya membentuk sebuah karya yang hebat. Pengarang yang hebat mampu memasukkan gambaran latar masyarakat untuk menjadikan setiap persoalan itu signifikan dan relevan serta nampak realistik dan secara tidak langsung dapat memartabatkan bangsa Melayu dan mendaulatkan bahasa Melayu itu sendiri di mata dunia.

 

            Antara tokoh-tokoh sastera Melayu serta penulis-penulis novel yang termashyur di negara kita ialah seperti Pak Sako ( Ishak Haji Mohamad ), Tongkat Warrant, Keris Mas, Arena Wati, A. Samad Said, Shahnon Ahmad, Othman Kelantan, Adibah Amin, Khatijah Hashim, Azizi Haji Abdullah dan ramai lagi tokoh yang mengharumkan nama negara di pesada kesusasteraan Melayu. Dewasa ini, semakin ramai penulis muda mula mengiatkan diri dalam bidang penulisan sastera dan diharapkan suatu hari nanti akan melahirkan lebih ramai tokoh sastera yang terkenal.

 

2.0              LATAR BELAKANG TOKOH SASTERA

                            

2.1.      Biodata

            Haji Azizi bin Haji Abdullah lebih dikenali sebagai Azizi Haji Abdullah telah dilahirkan di Kampung Bukit Meryam, Kota Kuala Muda Kedah pada tanggal 4 April 1942. Mendapat pendidikan awal di sekolah rendah di kampung halaman tempat tumpah darahnya sehingga ke darjah enam.

 

            Setelah taman pengajian di sekolah rendah, beliau telah meneruskan pengajiannya ke sekolah menengah iaitu Sekolah Agama Dairatul Maarif Al-Wataniah, Kepala Batas, Seberang Perai, Pulau Pinang ( sekolah yang diasaskan olehTuan Guru Haji Ahmad Badawi, ayahanda kepada bekas Perdana Menteri Malaysia iaitu Datuk Abdullah bin Ahmad Badawi ) hingga ke tahun 1963.

 

 

            Sejak di bangku sekolah menengah lagi, Azizi Haji Abdullah memang gemar menulis. Bakat semulajadi yang ada pada dirinya semakin menyerlah pada tahun 1963 apabila artikel pertamanya tersiar di dalam Warta Negara, Pulau Pinang yang memaparkan tentang buruk baik wanita bermain bola sepak dan kemudian diikuti dengan tersiarnya cerpen ‘Sisa’. Selain itu, banyak hasil karya terutamanya cerpen telah diterbitkan di dada-dada akhbar terutamanya Utusan Melayu.

 

            Setelah tamat pengajian pada tahun 1965, Azizi Haji Abdullah telah mendapat tawaran menjadi guru agama di Sekolah Kebangsaan Sungai Taka, Kulim, Kedah. Selepas itu, beliau bertukar ke Sekolah Kebangsaan Ladang Dublin, Karangan, Kulim dan seterusnya ke Sekolah Kebangsaan Tunku Abdul Malik, Kulim. Kemudian berkhidmat pula di Sekolah Kebangsaan Sungai Kob, Kulim dan mengakhiri perkhidmatannya sebagai pendidik di Sekolah Kebangsaan Sri Kulim, Kulim, Kedah pada tahun 1997.  Selain menulis, Azizi ( lebih dikenali sebagai Ustaz Azizi ) juga merupakan seorang jurulatih pasukan sepak takraw di sekolahnya dan juga seorang tenaga pengajar lakunan drama yang hebat.

 

            Setelah bersara, Azizi Haji Abdullah tidak pernah duduk diam dan masih meneruskan karyanya dan menjadi Ketua Editor akhbar Utusan Pengguna  Pulau Pinang. Beliau juga terus aktif sebagai penulis kolum dalam majalah-majalah tempatan seperti Dewan Pelajar, Dewan Siswa dan lain-lain lagi. Detik cemas yang dihadapi oleh Azizi ialah apabila beliau nyaris-nyaris didakwa di mahkamah gara-gara penerbitan cerpen ‘Haji Salikun Cuba Berkhalwat’ dan cerpen tersebut telah menjadi kontroversi.

 

           

 

                          

          Antara contoh Tabloit Utusan Pengguna Pulau Pinang

            Azizi Haji Abdullah telah mendirikan rumahtangga bersama gadis pilihannya iaitu seorang guru KEMAS, Zabedah binti Yusof pada tahun 1966 dan telah dikurniakan seorang puteri dan tiga orang cucu. Beliau sekeluarga telah menetap di rumah beralamat 424, Taman Bersatu, Kulim, Kedah.  Ketika berumur 69 tahun, iaitu pada tanggal 21 Ogos 2011, Azizi Haji Abdullah telah menghembuskan nafasnya yang terakhir akibat serangan jantung di Hospital Pulau Pinang.

          Azizi Haji Abdullah sewaktu dirawat di hospital

 

2.2.      Sumbangan terhadap sastera dan bahasa Melayu

            Idea-idea yang dilemparkan melalui penulisan cerpen dan novel serta skrip-skrip drama radio dan televisyen, ternyata Aziz Haji Abdullah telah menyumbang satu alur pemikiran yang tidak ternilai harganya. Hasil-hasil penulisannya dapat membantu perkembangan sastera dan seterusnya memperkasakan bahasa Melayu yang menjadi bahasa kebangsaan negara kita. Di samping itu juga, pengarang dapat memaparkan nilai-nilai murni untuk kesejahteraan sejagat. Di antaranya ialah:

            i). Nilai peradaban dan perpaduan melalui tema keagamaan di mana nilai-nilai        berunsur agama Islam yang mendahului polemik sastera Islam. Hal ini dapat           dilihat melalui penghasilan novel ‘Garis Lentang Anak Haram’ yang diterbitkan         pada tahun 1968, ‘Sami Mekong’, 1969; ‘Di Kolam Mulhamah’, ‘Seorang Tua di             Kaki Gunung’,1982; ‘Cahaya di Pedalaman’,1992; ‘Kawin-kawin’,2002.    Sedangkan polemik sastera berunsur Islam di negara kita banyak dan hanya        berkembang sekitar tahun 80-an.

            ii). Nilai tradisi lama dengan moden melalui beberapa karya seperti ‘Seorang Tua    di Kaki Gunung’, ‘Senja Belum Berakhir’ dan ‘Menebus Maruah’.

            iii). Nilai kesufian seperti yang diluahkan di dalam karya ‘Dee’, ‘Latifah     Rabbaniah’, ‘Di Kolam Mulhamah’, dan ‘Takah Tujuh’.

            iv). Nilai-nilai sosial pelbagai kaum yang diharapkan dapat menyatukan kaum-       kaum yang ada di negara kita selaras dengan kehendak kerajaan bagi melahirkan         masyarakat yang saling hormat-menghormati tanpa mengira kaum, agama dan      warna kulit.

            Walaupun sibuk dengan kegiatan menulis, Azizi Haji Abdullah masih dapat meluangkan masa untuk melakukan kegiatan-kegiatan sosial seperti menyampaikan atau membentangkan kertas kerja tentang kesusasteraan, ceramah, bengkel pembinaan kesusasteraan dan lain-lain lagi untuk masyarakat.

2.3.      Kejayaan yang dicapai dalam bidang penulisan

            Berkat kesabaran dan tekun, usaha yang tidak mengenal jemu serta minat yang mendalam dalam bidang penulisan, Azizi Haji Abdullah telah menerima beberapa anugerah atas usahanya selama ini. Antara kejayaan yang pernah dicapai oleh beliau ialah seperti:

i)                    Novel ‘Sangeetha’ menerima Hadiah Sastera Mastera ke 5

ii)                  Novel ‘Suriati’ menerima Hadiah S.E.A. Write Award pada tahun 1988 di mana anugerah ini hanya diberikan kepada penulis-penulis Asia Tenggara.

iii)                Novel ‘Suriati’ sekali lagi memenangi hadiah pertama Sayembara Novel berunsur Islam anjuran Bahagian Hal Ehwal Islam, Jabatan Perdana Menteri pada tahun 1992.

iv)                Novel ‘Harga Sebuah Maruah’ telah memenangi tempat ke dua dalam Sayembara Mengarang Sempena Jubli Emas DBP anjuran Dewan Bahasa dan Pustaka pada tahun 2008. Azizi telah menerima wang tunai sebanyak RM40,000. 00.

v)                  Novel ‘Seorang Tua di Kaki Gunung’ pula telah memenangi tempat ke dua Hadiah Novel GAPENA-Yayasan Sabah II pada tahun 1998.

vi)                Dalam Sayembara cerpen anjuran Bahagian Agama Jabatan Perdana Menteri, Esso-GAPENA, Yayasan Sabah-GAPENA, Hadiah Sastera Utusan Melayu-Public Bank dan badan-badan lain, Azizi Haji Abdullah sering mendapat tempat yang membanggakan.

vii)              Pada tahun 90-an, beliau pernah meraih ‘Screen Play Radio Terbaik’ dalam Anugerah sri Angkasa, anjuran RTM.

viii)            Pada 2010, menerima hadiah Tokoh Budayawan Kedah daripada Sultan Kedah Tuanku Abdul Halim di Istana Anak Bukit.

2.4.      Kejayaan-kejayaan lain

            Selain daripada kejayaan-kejayaan yang dinyatakan di atas, hasil-hasil karya Azizi Haji Abdullah ini juga telah mendapat penghargaan dan dijulang sebagai teks kajian pelajar untuk peperiksaan awam SPM mahupun difilemkan untuk tontonan masyarakat.

            Berikut adalah kejayaan lain yang diberikan kepada pengarang yang terkenal ini:

            i).         Novel ‘Seorang Tua di Kaki Gunung’ telah difilemkan sebagai filem                                   drama televisyen dan penggambarannya dilakukan di tempat seperti yang                          terdapat di dalam novel itu sendiri.

            ii).        Novel ‘Seorang Tua di Kaki Gunung’ juga telah dianggap sebagai salah                              satu novel Malaysia Pilihan Abad 20 dan telah diterjemahkan ke dalam                                    bahasa Jepun oleh Dr. Fujimorial dan Tahiyibah Sulaiman.

            iii).       Hasil karya Azizi terus mendapat tempat apabila hasil cerpen ‘Beruk’                                  yang disiarkan dalam Majalah Dewan Bahasa pada Disember 1970 telah                                     menjadi teks sastera  antologi ‘Jejak Langkah’.

            iv).       Cerpen ‘Tulang Pekasam Ikan Puyu’ bukan sahaja menerima hadiah                                    cerpen terbaik, malah ianya turut difilemkan untuk drama televisyen                                   melalui sayembara penulisan skrip tv ketika itu.

 

            Atas jasa serta sumbangannya yang banyak dalam bidang sastera dan menaikkan nama anak jati Kedah, Azizi Haji Abdullah telah dianugerahi pingat Ahli Mangku Negara ( AMN ) pada tahun 1976 oleh Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang Di Pertuan Agong.

 

 



                  

    Menerima pingat AMN  pada tahun 1976 ( Ikhsan dari Album Azizi yang diperolehi di     

                rumah kediamannya melalui isteri beliau, Puan Hjh. Zabedah Yusof )



                                                  

                           Menerima anugerah daripada Sultan Kedah pada 2010 ( Ikhsan  

                                            dari album Azizi, oleh isteri dan anaknya )

 

 

3.0              KARYA-KARYA YANG DIHASILKAN

            Sekali menulis, Azizi Haji Abdullah terus menulis dan bergiat dalam bidang penulisan tanpa menoleh ke belakang lagi. Sejak itu, beliau terus menghasilkan karya-karya yang sentiasa mendapat sambutan hangat di kalangan pembaca seperti novel dan cerpen. Tidak ketinggalan, beliau juga menghasilkan penulisan bukan fiksyen berbentuk kritikan.

 

            Selain itu, Azizi juga telah menggunakan beberapa nama selain nama sebenar, seperti Jamong, Qalam Adly, Anita, Shahrul Manjarishah, Tan Sri Sasterawan, Sri Bungsu, Tukya dan lain-lain. Sepanjang kariernya sebagai penulis, telah hampir 200 cerpen,  lebih 30 novel dan beberapa antologi cerpen telah dihasilkan oleh beliau. Selain dari itu, beliau juga banyak menulis skrip-skrip radio untuk RMT dan beberapa drama televisyen. Antara sebahagian daripada karya-karya yang dihasilkan oleh beliau adalah seperti berikut:

3.1.      Novel


Garis Lintang Anak Haram. Kuala Lumpur : Pustaka Sari, 1968.
Senja Belum Berakhir. Singapura : Pustaka Nasional, 1971.
Bila Hujan Malam. Kuala Lumpur : Amir Enterprise, 1976.
Sami Mekong. Kuala Lumpur : Penerbitan Utusan Melayu, 1976.
Tini. Kuala Lumpur : Utusan Publication & Distributor, 1977.
Ayah Bonda. Kuala Lumpur : Pustaka Sistem Pelajaran, 1978.
Di Kolam Mulhamah. Kuala Lumpur : Garis Cinta Books, 1978.
Gadis Itu Bernama Ina. Petaling Jaya : Karya Pub. House, 1978.
Seorang Tua di Kaki Gunung. Kuala Lumpur : DBP, 1982.
Debu Takdir. Subang Jaya : Tra-Tra Publishing, 1982.
Dee. Shah Alam : Marwilis Publisher, 1987.
Melukut Kota
. Kuala Lumpur : Penerbitan Azam , 1987.
Asyraq
. Kuala Lumpur : Penerbitan Azam , 1987.
Juak
. Kuala Lumpur : DBP, 1989.

Yang Merusuh. Kuala Lumpur : Penerbitan Kintan, 1991.
Tukcai. Petaling Jaya : Fajar Bakti, 1991.
Menebus Maruah
. Shah Alam : Marwilis Publisher, 1991.
Beruk. Kuala Lumpur : Penerbitan Kintan, 1991.
Anak Kampung Kuala Raga. Kuala Lumpur: DBP, 1991.
Anak Belantara. Shah Alam : Marwilis, 1992.
Cahaya di Pedalaman. Kuala Lumpur: DBP, 1992.
Dunia Bukan Syurga. Kuala Lumpur : Creative Enterprise, 1993
Sinappapal. Kuala Lumpur: DBP, 1993.
Suriati. Kuala Lumpur : Bahagian Hal Ehwal Islam Jabatan Perdana Menteri, 1993.
Hoi!. Petaling Jaya: Fajar Bakti, 1994.
Wi dan Wiliam. Seri Kembangan: Utusan Publications, 1995.
Buih. Kuala Lumpur : Creative Enterprise, 1995.
Ateik Putriba. Kuala Lumpur : Creative Enterprise, 1996.
Ayahanda. Kuala Lumpur : Creative Enterprise, 1997.
Pencinta Alam. Kuala Lumpur: Berita Publishing, 1998.
Kawin-kawin. Seri Kembangan: Utusan Publications , 2002.
Sangeetha. Kuala Lumpur: DBP, 2006.
Memoir Seorang Guru. Selangor: Alaf 21, 2007.
Harga Sebuah Maruah
. Kuala Lumpur: DBP, 2007.
Zikir Rindu. Shah Alam: Alaf 21, 2009.
Daerah Beta
. Kuala Lumpur: DBP, 2009.
Badai Cinta. Kuala Lumpur: Al-Ameen, 2011.

                 

                 

                         

                  Antara novel-novel yang dihasilkan oleh Azizi Haji Abdullah

 

 

 

 

                                            

                                Novel terakhir Azizi Haji Abdullah sebelum meninggal dunia

"Novel terbaru yang baru siap setebal 299 muka bertajuk ‘MANDALA DUNIA KE DUA’ mujur menjadi peneman. Untuk edit kali ke 8 dan terakhir dapat juga dilakukan secara penyegan. Alhamdulillah rasanya sempat habis sebelum bedah. Jika hayat saya pendek, barangkali inilah

Novel terakhir saya”

Petikan di atas adalah daripada tulisan Allahyarham sendiri di dalam blognya (Jemu Yang Terpaksa)



    Penulis bersama isteri Azizi Haji Abdullah ketika sesi temuramah di kediaman mereka di Taman Bersatu, Kulim, pada 28 Mei 2012.

3.2.      Antologi Cerpen


Latifah Rabbaniah. Kuala Lumpur : DBP, 1976.
Keakuan. Kuala Lumpur : Heinemann Educational Books (Asia), 1978.
Rindu Bonda. Pulau Pinang : Teks Publishing, 1980.
Songsang. Kuala Lumpur : Teks Publishing, 1984.
Pertiwi. Kuala Lumpur : Teks Publishing, 1985.
Mardudah. Shah Alam : Marwilis Publisher, 1987.
Istiqamah. Kuala Lumpur : DBP, 1988.
Bibit Cinta. Kuala Lumpur : Penerbitan Pena, 1989.
Jangan Pisahkan Aku!. Petaling Jaya : Penerbit Sasbadi, 1997.
Pendoa Yang Ikhlas. Kuala Lumpur : DBP, 2005.



          

     Antara antologi cerpen yang dihasilkan oleh Azizi Haji Abdullah

                




                        Antara cerpen-cerpen yang tersiar di akhbar-akhbar

 

3.3.      Antologi Bersama


Intan Terpilih. Kuala Lumpur: Penerbitan Utusan Melayu, 1966.
Terkangkang. Melaka : Gerkap Sekawan, 1969.
Cerpen-cerpen Malaysia. Kuala Lumpur: Penerbitan Universiti Malaya, 1977.
Jelapang. Pulau Pinang: Teks Publishing, 1981.
Bunga Gunung. Kuala Lumpur: Berita Publishing, 1982.
Jelapang II. Pulau Pinang: Teks Publishing, 1983.
Menjunjung Titah Perintah. Subang Jaya: Tra-Tra Publishing, 1984.
Titian Laut. Kuala Lumpur: DBP, 1984.
Angin Pulau. Kuala Lumpur: Teks Publishing, 1985.
Dongeng Merdeka. Petaling Jaya: Penerbit Fajar Bakti, 1985.
Alun Menggulung Perlahan. Petaling Jaya: Penerbit Fajar Bakti, 1986.



                                        

             Antologi Bersama yang pernah dihasilkan oleh Azizi Haji Abdullah


3.4.      Antologi Sayembara
Sesudah Senja
. Kuala Lumpur: Utusan. 1990. 'Zaimah Yang Kubunuh'.



                              

                        Meja tempat Azizi menulis terletak di bilik sumber mini di rumahnya.


3.5.      Bukan Fiksyen
Gaya Hidup Ranggi. Merbok: Teras, 2002.
Siapa Khianat Siapa. Kulim : Penerbitan Azizi, 2003.
Luka Rakyat. Kedah: Teras, 2003.
UMNO Kelam kabut & Fobia Oktober. Kulim, Kedah : Penerbitan Azizi, 2003.
Ulat-Ulat UMNO. Kulim: Penerbitan Azizi, 2004.
Hentikan Hutang dan Boros. Penang: Persatuan Pengguna Pulau Pinang, 2005.
Kuras-Kuras Kreatif. Kuala Lumpur: DBP, 2007.
Sayap-Sayap Selepas Senja. Penang: Goal Intelligent Publishing, 2008.
Mustadh'afin Yang Tertindas. Penang: Persatuan Pengguna Pulau Pinang, 2008.
Jiwa Hamba. Penang: Persatuan Pengguna Pulau Pinang, 2008

 



             



                                         

                        Antara karya-karya bukan fiksyen tulisan Azizi Haji Abdullah

 

 

4.0              KARYA PILIHAN

            Di antara novel-novel yang dihasilkan oleh Azizi Haji Abdullah ini, penulis telah memilih sebuah karya yang ke sembilan beliau iaitu ‘Seorang Tua di Kaki Gunung’ sebagai pilihan untuk dibuat analisis mengenai bahasa dan gaya persembahan yang telah dihasilkan oleh pengarangnya. Novel ini juga telah dijadikan sebagai teks sastera untuk calon-calon SPM di sekolah seluruh negara oleh Dewan Bahasa dan Pustaka pada tahun 1982.  Selain itu, novel ini juga telah diabadikan di dalam sebuah filem drama televisyen sekitar tahun 90-an untuk tontonan umum.

 

            Novel ‘Seorang Tua di Kaki Gunung’ ini, telah mendapat memenangi tempat kedua dalam Sayembara Hadiah Novel GAPENA - Yayasan Sabah II pada tahun 1981, yang mana pengarang banyak memaparkan persoalan jurang antara generasi muda dengan generasi lama. Latar atau situasi cerita di dalam novel ini berkisar di sebuah kawasan pedalaman iaitu di sebuah kampung di Kampung Gunung Bongsu, berhampiran dengan pekan Mahang, Kulim, Kedah.


Novel karya Azizi Haji Abdullah – Seorang Tua di Kaki Gunung

4.1              Sinopsis Novel Pilihan          

            Di dalam novel ‘Seorang Tua di Kaki Gunung’ ini mengetengahkan watak utamanya iaitu seorang tua yang tinggal di sebuah kampung pedalaman di daerah Kulim. Melalui watak Tukya, seorang bapa kepada Fikri dan datuk kepada Lamin dan Farid, pengarang cuba memperlihatkan sikap golongan tua yang tetap keras dalam usahanya mempertahankan pendiriannya terhadap corak kehidupan tradisi, yang amat rapat dengan alam semula jadi di kaki Gunung Bongsu, dan penuh pantang larang dalam membuat sesuatu kerja kerana dia menganggap kerja itu sangat mulia dan patut dihormati. Konflik antara kehidupan di bandar besar Kuala Lumpur yang dialami oleh anak menantu serta cucunya dengan kehidupan Tukya  di desa adalah amat ketara sekali digambarkan oleh pengarang dalam novel ini. Kekuatan utama novel ini terserlah pada aspek perwatakan dan latarnya. Pengarang telah memperlihatkan usaha yang bersungguh-sungguh dalam melukiskan gambaran alam hutan untuk menimbulkan perhubungan erat dan selari antara usia  Tukya yang dianggap ‘keras’ atau degil dengan kehidupan tradisi yang dianggap murni. Walaupun begitu, Tukya adalah lambang seorang manusia yang gigih dalam usaha mempertahankan pendiriannya hingga ke akhir hayat.

 

4.2              Tema

            Seorang Tua di Kaki Gunung memperlihatkan kegigihan serta sikap seorang tua iaitu Tukya yang cuba mempertahankan cara hidup tradisi yang dianggapnya sebagai unggul, mulia dan dihormati. Tukya juga digambarkan sebagai seorang yang keras hati, sanggup mempertahankan harga diri serta tidak mudah mengalah dengan keadaan sekelilingnya. Beliau tidak menghiraukan sama ada ditertawakan oleh masyarakat atau dipujuk oleh anaknya sendiri untuk berubah kepada kehidupan yang lebih selesa. Tukya tetap dengan pendiriannya sehingga ke akhir hayatnya.

 

4.3              Persoalan

            Banyak persoalan yang ditimbulkan oleh pengarang dalam novel ini, antaranya ialah tentang sikap keras hati yang membawa kepada sesuatu padah atau musibah yang menimpa diri Tukya seperti disengat lebah ketika mencari madu lebah dan ditimpa pokok cengal ketika menebang di hutan.  Selain daripada itu, persoalan lain yang diketengahkan ialah tentang harga diri. Tukya merupakan seorang yang kuat semangat dan sanggup mempertahankan harga dirinya walaupun apa yang berlaku ke atas dirinya tetap dihadapi dengan tabah. Beliau juga tidak memandang kebendaan atau wang ringgit yang diberikan oleh anaknya sendiri. Persoalan yang paling ketara diutarakan oleh pengarang dalam novel ini ialah mengenai kemiskinan sama ada yang dihadapi oleh Tukya sendiri mahupun masyarakat kampung tersebut. Kemiskinan yang digambarkan termasuklah keadaan rumah Tukya yang uzur, ketiadaan kelengkapan atau peralatan yang moden di rumahnya seperti televisyen mahupun radio serta perabot-perabot mewah, ketiadaan bilik mandi atau tandas yang sempurna, makan minum yang sederhana dan sebagainya lagi.

 

4.4              Mesej

            Novel Seorang Tua di kaki Gunung ini sebenarnya ingin menyampaikan mesej yang tersirat tentang kehidupan seorang tua atau bapa yang tidak mahu meminta jasanya dibalas oleh anaknya sendiri walaupun anaknya telah berjaya dan hidup senang di bandar. Walaupun hidup serba kekurangan, Tukya masih selesa tinggal di kampung dan menjalankan kehidupan seharian tanpa meminta pertolongan daripada anak menantunya. Mesej kemasyarakatan juga dapat ditonjolkan oleh pengarang bila mana penduduk kampung bekerjasama serta tolong-menolong dalam menjalani kehidupan mereka seharian termasuklah membantu Tukya yang ditimpa kemalangan.

 

 

5.0              GAYA BAHASA DAN GAYA PERSEMBAHAN

            Menurut Dr. Harun Jaafar (2008), gaya bahasa merupakan suatu pemindahan semua unsur bahasa yang dimiliki  oleh seseorang pengarang untuk menerangkan semua idea dan pemikirannya  tentang persoalan dan permasalahan yang menjadi renungannya. Penggunaan bahasa yang tersendiri akan menjadikan sesebuah karya itu hebat di kaca mata pembaca.

 

            Di dalam novel “Seorang Tua Di Kaki Gunung” ini, pengarangnya  Azizi Haji Abdullah menggunakan pelbagai gaya bahasa dalam mempersembahkan sebuah karya yang baik dan menarik. Pengarang dikatakan amat matang dalam memilih dan menggunakan kata-kata yang mudah dan sering digunakan dalam pertuturan harian  pembaca.

 

            5.1.      Bahasa

            Beberapa aspek bahasa yang boleh diberi perhatian di dalam novel Seorang Tua di Kaki Gunung ialah seperti berikut:

            5.1.1.   Ayat

            Pengarang menggunakan ayat yang pendek-pendek dan mudah difahami dan         sesuai dengan jalan cerita yang hendak disampaikan. Pembaca tidak perlu berfikir       terlalu banyak untuk memahami idea yang ingin disampaikan kerana ayat yang            pendek dan tepat dapat menyampaikan maksud dengan jelas.

            Contoh ayat:  Hujan turun lebat juga. Tidak ada tanda hendak sereyat. Tidak         semena-mena Tukya terasa setitik dua air hujan jatuh ke atas bahunya. Tukya      mendongak. Hairan benar kerana setahunya atap tidak bocor. (Halaman 9 ).

           

            5.1.2.   Perkataan asing

            Terdapat juga penggunaan perkataan asing seperti bahasa Inggeris dan bahasa        Arab tetapi tidaklah begitu ketara. Sebagai contoh perkataan bahasa Inggeris;     asbestos ( halaman 28), Division ( hal. 77,80 ), money order ( hal. 4 ) dan Austin       Cambridge ( hal. 80 ). Manakala penggunaan bahasa Arab pula adalah seperti         Akidah ( hal.16), Quran (hal. 43, 45 dan 78 ), Bismillah ( hal.78 ), Syaaban ( hal.      113 dan 114 ), Rasulullah ( hal. 150 ) dan beberapa perkataan lain lagi yang       sering   kita gunakan sebagai sebutan seharian.

 

            5.1.3.   Diksi

            Menurut Dr. Harun Jaafar (2008), diksi membawa maksud pemilihan kata dan       penyusunan kata di dalam  percakapan atau penulisan. Dari sudut penampilan,   diksi yang baik haruslah tepat, sesuai serta istimewa dengan persoalan dan perasaan di dalam sesebuah karya. Sehubungan dengan itu, diksi di dalam karya    mengandungi kata-kata yang bersifat denotasi dan konotasi.

            Denotasi membawa maksud makna  yang tepat atau tiada makna lain lagi bagi       sesuatu kata atau ayat. Contohnya, Bengkak dan sembab di muka serta di sekitar    dada dan tengkuk, seperti kian membengkak pada penglihatan Lebai ‘At (Halaman 77 ).

            Manakala konotasi pula membawa maksud perkataan atau ungkapan yang menimbulkan makna tambahan. Contoh ayat adalah seperti; Besah berharap dengan menyapukan air penawar itu Tukya akan membukakan mata dan bibir          dapat bergerak mengucap dua kalimah syahadat. Kalau matipun biarlah dapat      mengucap.( Halaman 78 )

 

            5.1.4.   Anagogi

            Analogi membawa maksud penafsiran sesuatu kata berdasarkan pengertian             spiritual atau mistik. Sebagai contoh, Besah kadang-kala bersungut juga, tetapi    Tukya cepat-cepat menengking, “Ke Mekah menunaikan haji biar duit sendiri.   Haji tak wajib bagi orang tak berkuasa dan tak mampu!” ( Halaman 5 ). Maksud   Mekah di sini ialah tempat umat Islam menunaikan ibadat haji di tanah suci.

 

            5.1.5.   Sindiran

            Sindiran disebut juga sebagai sinis atau sarkasme adalah kata-kata yang bertujuan untuk menjatuhkan martabat atau menaikan kemarahan seseorang. Sebagai         contoh;

            “Alaa, kita ni dah tua, takkan pokok dua tiga pemeluk tu sanggup nak tebang!        Kalau ya pun, ukurlah sama dengan tenaga tu!” ( Halaman 114)

            “Lamin selalu cerita yang Atuk kuat naik bukit, Atuk kuat tebang pokok, Atuk          kuat tarik rotan, tetapi kenapa Atuk tak lawan lebah yang kecil tu?” Farid seperti   menyindir. (Halaman 90 )

            5.1.6.   Sinkop

            Sinkop membawa maksud penyingkiran kata dengan menghilangkan huruf atau     suku kata. Di dalam novel ini banyak digunakan unsur-unsur ini terutamanya di            dalam dialog. Contoh perkataan yang digunakan adalah seperti “Kalau nek mau         abang Farid tinggal di sini, nek mesti buat rumah besar sikit( Halaman 45 ).

 

 

 

            Contoh lain di halaman 47:

            “Esok atuk nak ambil madu lebah?”

            Nak ikut?”

            Lamin mengangguk.

            “Tadi tak letih?”

            Nek dah urut.”

 

            5.1.7.   Imej dan Imejan

            Imej dan imejan ini menggambarkan sesuatu gambaran yang telah dikenali umum. Di dalam novel ini, banyak imej alam diketengahkan seperti huma, rimba,          hutan, sungai, bendang, gunung, semak, londang dan lain-lain lagi.

 

            5.1.8.   Onomotopoeia

            Ungkapan ini membawa maksud tiruan bunyi. Di dalam novel Seorang Tua Di       Kaki Gunung ini tidak ketinggalan menggunakan unsur onomotopoeia ini seperti    di halaman 38, 39 dan 40 yang menunjukkan bunyi ketukan kayu kecil untuk        memanggil pelanduk.

            Trekk-trekk! Trekk tek-tek!

            Treeek-trekk tek-tek! Treekkkk-treekkkk!

 

 

 

            5.1.9.   Personafikasi

            Personafikasi adalah satu lagi bentuk perbandingan, namun perbandingan yang      dimaksudkan adalah memberi sifat perorangan atau sifat manusia kepada benda   bukan manusia. Antara elemen personafikasi yang terdapat di dalam novel ini     ialah seperti pokok-pokok besar yang tegak lurus tercegat gagah ( Halaman43 ),             puntung itu terlompat-lompat ke kiri ke kanan oleh timpaan titik-titik hujan yang     tidak berhenti-henti ( halaman 6 ). Malam semakin merangkak. Malam dingin bila            angin dari gunung mencuri masuk dari celah dinding ( halaman 77 ).

 

            5.1.10. Simile

            Perkataan simile ialah perbandingan terus yang menggunakan kata-kata ‘bak’’        ‘seperti’, ‘macam’, ‘bagai’ dan lain-lain lagi. Terdapat beberapa perkataan simile           yang digunakan oleh pengarang bagi menunjukkan perbandingan di dalam novel terkenal ini, antaranya di halaman 66, “Tukya kelihatan duduk menongkat kaki             bagai seekor anjing lelah gagal menghambat babi.” Terdapat perbandingan lain    yang turut dipaparkan di halaman 105, “Badan yang kurus melengkung itu seperti      batang tempeneh yang amat sukar ditarik.”

 

            5.1.11. Paralelisme

            Paralelisme merujuk kepada ulangan pada bentuk frasa, ayat, atau baris. Contoh     paralelisme yang dibentuk oleh pengarang ialah seperti di halaman 137:  

            Maka jadilah pagi itu pagi kesembilan.

            Maka jadilah pagi itu pagi kesepuluh.

            Maka jadilah pagi itu pagi kesebelas.

            Pagi kedua belas. Pagi ketiga belas.

            Sambung lagi, maka jadilah pagi keempat belas.

            Dan sambung lagi, maka masuklah hari kelima belas.

            Dan akhirnya pagi itu pagi keenam belas.

            Tukya merasa lega.

            5.1.12. Ironi

            Ironi adalah menggambarkan pertentangan, iaitu pertentangan antara apa yang       sebenarnya tentang sesuatu dengan apa yang dilihat, apa yang berlaku atau apa yang sepatutnya ada. Ada tiga jenis ironi di dalam kesusasteraan iaitu ironi kata,             ironi dramatik dan ironi situasi. Namun, di dalam novel ini hanya terdapat dua             ironi sahaja iaitu:

a)      Ironi kata;  disebut juga sebagai bahasa terbalik. Contohnya di halaman 113:

“Dirikan rumah?” Besah bertambah hairan. “Dengan apa?” Besah amat tertarik.

Tukya menguak jendela. Angin malam menerpa. Dari jauh terdengar bunyi burung hantu bersahut-sahutan.

“Tak kan orang diri rumah dengan pasir,” katanya seperti menyindir.

 

            b)   Ironi situasi iaitu apabila berlaku satu pertentangan wujud antara                                         pengharapan dengan pelaksanaan, atau antara apa yang ada dengan apa yang                         sebenarnya terjadi. Contohnya:

                  Besah yang Cuma memakai baju kurung Kedah berleher bulat dengan kain                        pelekat yang sudah lasam itu, terjongok ditepi dapur seperti mahu menyuruh                         api menyala kuat dan mendesak puluttanaknya cepat masak. ( Halaman 19 )

                 “Alaaa, kita ni dah tua, tak kan nak tebang pokok dua tiga pemeluk tu                                  sanggup  nak tebang? Kalau ya pun, ukurlah sama dengan tenaga tu”.                        ( Halaman 114 )

 

            5.1.13. Perulangan

            Membawa maksud kata atau kata-kata yang diulang di dalam sesuatu ayat.            Contohnya:

            Besah mendongak melihat kalau-kalau ada lelehan lagi.

            Tukya mendongak menanti kalau-kalau ada lelehan lagi.

            Tidak ada! ( Halaman 10 )

            Kawasan itu semak oleh pokok-pokok gendang rusa, pokok-pokok kememeh,        pokok-pokok senduduk, pokok-pokok letup, meraga, malabera bukit, landas             paya,   tinjau belukar, mengkudu, selaput tunggul. ( Halaman 56 )

 

            5.1.14. Aliterasi

            Aliterasi pula merupakan gaya bahasa yang wujud pengulangan bunyi konsonan     yang sama. Contohnya pengulangan konsonan ‘y’.

            Tukya sungguh-sungguh merasa hairan, mengapa Fikri yang besar, yang   belajar, yang tidur, yang jaga, yang bermain, yang berkubang di sini dahulu,          tiba-tiba sudah dapat kerja bergaji besar seperti mahu melupakan semuanya?                        ( Halaman 17).

            5.1.15. Asonansi

            Asonansi pula merupakan gaya bahasa yang wujud pengulangan bunyi vokal          yang sama. Contohnya pengulangan vokal ‘a’:

            “Tetapi harap-harap Taha ada. Bapa Taha ada. Emak Taha ada. Tukya terus     meredah hujan lebat”. ( Halaman 13 )

            5.1.16. Anafora

            Gaya bahasa yang melibatkan anafora ialah suatu unsur bahasa repetisi atau            pengulangan kata pertama pada setiap baris atau kalimat. Contoh anafora di dalam       novel ini dapat diperlihatkan pada halaman 34:

            Alangkah….alangkah tegap dan cantiknya cengal itu, bisik Tukya.

            Alangkah….alangkah besarnya batang berbanir itu.

            Alangkah…alangkah tingginya. Tukya terbayang, jika cengal itu tumbang.

 

            5.1.17. Epifora

            Epifora pula memperlihatkan pengulangan kata pada akhir setiap baris atau ayat     atau kalimat berurutan. Contoh yang dapat diberikan adalah seperti di halaman 4.

            Tukya masih bangga.

            Besah juga bangga.

            Orang kampung tumpang seronok.

 

 

 

            5.1.18. Simplok

            Simplok adalah gaya bahasa yang serupa dengan pengulangan pada awal dan         akhir beberapa baris atau kalimat yang berturut-turut. Pengarang telah             memasukkan unsur ini ke dalam hasil penulisannya. Contoh simplok adalah            seperti di halaman 101.

            Itulah anak kita. Itulah cucu kita dan itulah menantu kita,” bisik Besah             perlahan-lahan dan bisikannya itu mengelus ke lubang telinga Tukya.

            5.1.19. Responsi

            Responsi pula merujuk kepada gaya bahasa repetisi yang mewujudkan        pengulangan kata atau frasa di tengah-tengah baris atau beberapa kalimat     berturutan. Contoh responsi yang terdapat di dalam novel ini ialah seperti:

            Sahihlah kereta itu kereta Fikri. Sahihlah Fikri balik. Sahihlah kejadian itu diketahui Farid. ( Halaman 88 )

            Dia berharap dalam masa sebulan itu janganlah datang, janganlah Fikri balik,      janganlah Fatimah balik, janganlah Farid balik. ( Halaman 111 ).

            5.1.20. Dialek

            Dialek disebut juga sebagai loghat daerah. Di dalam karya ini, pengarang banyak   menggunakan atau memperkenalkan dialek utara. Antara contoh-contoh dialek             yang dimasukkan ke dalam karya ini adalah seperti gincah ( halaman 19 ),             mengerekot  (hal.19 ), meragas ( hal. 21 ), terkernyih ( hal. 62 ), bakup ( hal.68 ),          misan ( hal.83 ), terpelecok ( hal.92 ) dan lain-lain lagi yang menjadikan pembaca   ingin mengetahui lebih lanjut tentang bahasa-bahasa daerah yang digunakan.

 

 

            5.1.21. Sarkasme

            Ia merupakan gaya bahasa yang mengandungi olok-olok atau sindiran pedas dan    menyakitkan hati. Antara unsur sarkasme yang digunakan oleh pengarang seperti         di halaman 84.

            Lamin yang meniarap di sisinya tersengih, “Atuk kuat! Atuk kuat!”, katanya.

            “Kuat apakalau lebah hambat pun tak dapat lari,” Besah semakin merendah-        rendahkan kekuatan Tukya. Barangkali itulah kali yang terakhir dia mahu            melepaskan geram yang sekian lama menanah di dalam dirinya.

            5.2. Gaya persembahan

            Dalam melahirkan sesebuah novel, gaya persembahan juga diambil kira di mana beberapa perkara perlu diperhatikan terutamanya plot atau jalan cerita yang dipaparkankan oleh pengarang sama ada dapat menarik perhatian pembaca atau sebaliknya. Novel Seorang Tua di Kaki Gunung ini sudah tidak terikat dengan gaya atau ciri-ciri tradisional kerana pengarangnya banyak memasukkan atau menyelitkan  unsur-unsur ‘flash back’ atau sorot kembali kisah-kisah lama di dalam ceritanya. Terdapat juga teknik monolog iaitu pengucapan yang dibuat lain tanpa watak yang ditujukan pada watak lain tanpa kehadiran watak lain itu. Contohnya; Tukya marahkan Fikri kerana menyatakan rumahnya buruk. (Halaman 48).

 

            Selain itu, terdapat juga teknik monolog dalaman iaitu watak tersebut sedang berfikir di dalam mindanya atau berkata di dalam hatinya, seperti contoh: Tukya berfikir di kepalanya bahawa Fikri sudah bencikannya kerana tidak balik pada hari yang dia patut balik dan bagaimana Fikri akan ketawa terbahak-bahak melihat kayu tumbang dan tidak mungkin Tukya dapat mengusahakannya. (Halaman 149).

            Penggunaan dialog juga dilihat menggunakan kata-kata yang pendek, tepat dan bersahaja. Pengarang dapat membangkitkan rasa seperti pembaca yang sedang bercakap dan tidak menimbulkan rasa kebosanan.

            Contoh dialog:               ( Halaman 90 )

            “Lebah yang sengat atuk ‘tu di mana?” tiba-tiba Farid bertanya.

            Tukya menunding jari ke arah hutan di sebelah kanan. “Di sana,” katanya.

            “Banyakkah?”

            “Banyak.”

            “Kenapa atuk tak lawan?

 

            5.2.1.   Plot

            Plot biasanya dihasilkan daripada perencanaan pengarang untuk memperlihatkan sebab-sebab serta akibat di dalam sesuatu persoalan. Di dalam novel ini, pengarang masih lagi menyusun plot ceritanya seperti cara tradisional iaitu permulaan cerita, urutan peristiwa ( sebab dan akibat ), puncak cerita (klimaks), anti klimaks dan diakhiri dengan penyelesaian atau peleraian.

 

            Plot cerita di dalam novel ini bermula dengan pengenalan watak Tukya dan kisah perkampungan di kaki bukit di mana terjadi atau berlakunya cerita ini. Kemudian diikuti dengan kehadiran cucunya ( Lamin )  yang balik ke kampung untuk tinggal sebentar bersama Tukya. Lamin telah diajar cara-cara kehidupan di kampung termasuklah hal-hal berkaitan dengan hutan.

 

            Jalan cerita seterusnya berterusan ke puncak klimaks apabila Tukya yang berusaha untuk mendapatkan madu lebah di dalam hutan dan berlakunya konflik disengat lebah hingga Tukya dirawat di hospital. Kemudian disambung lagi dengan konflik lain iaitu kedegilan Tukya untuk menebang pokok cengal untuk dibuat rumah.

 

            Anti klimaks pada jalan cerita ini membawa kepada kematian Tukya akibat ditimpa pokok cengal yang ditebangnya dan adegan inilah yang menjadi peleraian atau kesudahan cerita di mana Besah (isteri Tukya  tidak dapat menolong menyelamatkan suaminya yang ditimpa kemalangan tersebut. Di akhir cerita Besah tetap tinggal di kampung itu dan tidak mahu berpindah ke bandar walaupun dipujuk oleh anak menantunya untuk berbuat demikian.

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

6.0              RUMUSAN

            Setelah dibaca dan dianalisis, didapati bahawa novel Seorang Tua di kaki Gunung tulisan Azizi Haji Abdullah ini tidak mempunyai persamaan dengan mana-mana novel yang lain atau terdahulu daripadanya. Ini menunjukkan bahawa novel ini merupakan novel asli yang dicetuskan sendiri melalui idea pengarang dan berdasarkan pengamatan serta pengalamannya yang tinggal di kawasan tersebut pada suatu masa dahulu. Idea yang disampaikan melalui novel ini sangat menarik dan tidak hairanlah jika novel ini diangkat sebagai karya agung yang telah dijadikan teks kesusasteraan untuk pelajar sekolah khasnya kepada caloncalon SPM  sedikit masa dahulu dan difilemkan untuk tontonan umum.

 

            Gaya bahasa, plot serta tema yang diketengahkan oleh pengarang amat menarik dan dapat menggambarkan situasi masyarakat pedalaman yang masih mengekalkan cara hidup tradisional dan watak yang ditonjolkan itu dapat mewakili sebahagian daripada penduduk kampung yang masih berpegang teguh pada adat serta menerapkan nilai-nilai keharmonian dan kerjasama yang semakin hilang di masa kini. Pengarang sememangnya peka dengan keadaan tersebut dan dapat menimbulkan kembali saat-saat manis dan dapat mengimbau kenangan lalu kepada sesetengah pembaca yang pernah mengalami keadaan yang sama atau yang hampir serupa dengan cerita yang diutarakan itu.

 

            Sememangnya novel seorang Tua di Kaki Gunung ini telah dapat mengharumkan nama pengarang yang berusaha mengetengah cara hidup masyarakat pedalaman yang masih mengekalkan cara hidup lama dan tidak mementingkan kebendaan atau meterial demi mengejar kemajuan atau permodenan semata-mata. Ternyata, novel ini amat sesuai dibaca oleh semua lapisan masyarakat sama ada untuk tujuan hiburan ataupun untuk pengetahuan.

 

                       

Penulis di hadapan rumah Azizi Haji Abdullah ketika membuat kajian

      

Kediaman Azizi Haji Abdullah sekeluarga di Taman Bersatu, Kulim.

 

 

 

Tiada ulasan:

Catat Ulasan